fbpx

Bekas pegawai kastam terlepas hukuman mati edar kanabis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan hukuman mati terhadap seorang bekas pegawai kastam yang didapati bersalah atas dua pertuduhan mengedar kanabis masing-masing seberat 1,433 gram dan 854.5 gram, hampir lapan tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebaliknya menggantikannya dengan hukuman penjara 15 tahun dan 10 tahun serentak bagi setiap tuduhan terhadap Muhammad Izzuddin Mazri, 31.

Mahkamah juga memerintahkannya menjalani 10 sebatan setiap pertuduhan. Ini bermakna lelaki itu perlu menjalani hukuman penjara 15 tahun bermula tarikh tangkapan pada 30 September 2016 dan dikenakan 20 sebatan.

Keputusan sebulat suara itu turut dicapai oleh Hakim-Hakim Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan pindaan.

Pihak pendakwaan membenarkan representasi yang dikemukakannya untuk mengurangkan pertuduhan.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam mensabitkannya atas pertuduhan pertama mengedar kanabis seberat 1,433 gram yang dibawa dalam sebuah beg kira-kira pukul 5.30 petang, 30 September 2016 di tepi Jalan Murni 2/2, Taman Langat Murni, Bukit Changgang Banting dekat sini.

Pertuduhan kedua, bekas pegawai kastam itu disabitkan mengedar 854.5 gram kanabis pada waktu dan hari yang sama di dalam sebuah bilik yang disewanya di sebuah pangsapuri di kawasan itu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Kedua-dua kes kemudian dipinda kepada Seksyen 6 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama.

Perayu diwakili peguam Kee Wei Lon manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Khushairy Ibrahim. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI