fbpx

Tiada lagi caj tambahan perkhidmatan 5G

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Poster tiada lagi caj tambahan untuk perkhidmatan rangkaian 5G yang dimuat naik di akaun Facebook Ahmad Fahmi hari ini.

PUTRAJAYA – Tiada lagi bayaran atau caj tambahan akan dikenakan kepada pengguna untuk mendapatkan akses kepada rangkaian 5G.

Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, perkara tersebut telah dipersetujui dan dimaklumkan kepadanya oleh semua Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat telekomunikasi.

Ujarnya, pengguna mempunyai pelbagai pilihan penawaran pelan dan perkhidmatan tambahan 5G berdasarkan kesesuaian penggunaan individu.

“Bagaimanpun pengguna perlu memastikan peranti yang diguna menyokong rangkaian 5G.

“Dulu masa 3G naik taraf ke 4G, tiada caj tambahan. Bila 4G naik taraf ke 5G, tak sepatutnya ada caj tambahan.

“Dengan pengumuman ini, saya ingin mengajak semua untuk naik taraf perkhidmatan telekomunikasi anda ke 5G,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Ujian Kualiti Perkhidmatan (Panggilan Suara), di Kementerian Komunikasi, di sini, hari ini.

Apabila ditanya mengenai caj tambahan rangkaian 5G yang telah pun dikenakan terhadap pengguna, Ahmad Fahmi menyerahkan perkara tersebut kepada CEO syarikat telekomunikasi untuk membuat keputusan seterusnya.

“Perkara itu kita serahkan kepada syarikat telekomunikasi untuk menjawab. Sama ada mereka nak bayar semula kepada pengguna atau sebaliknya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Fahmi turut memaklumkan beberapa perkara yang akan menjadi fokus Kementerian Komunikasi pada masa akan datang, antaranya adalah liputan rangkaian Internet di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Ujarnya, semua kampus IPTA akan menjadi tempat pertama dan utama bagi mencapai 100 peratus liputan kesalinghubungan ke seluruh negara.

“Saya telah memaklumkan kepada semua syarikat telekomunikasi dan akan berhubung dengan pihak pengurusan Kementerian Pengajian Tinggi.

“Ia bagi meneliti beberapa mekanisme, segerakan penyelesaian isu ‘outdoor coverage’, ‘in building coverage’ ataupun Wi-Fi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI