fbpx

MPOB perlu jadi penanda aras dalam industri sawit – Johari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Johari ketika menghadiri sesi taklimat mengenai peranan MPOB semasa kunjungan beliau ke Ibu Pejabat MPOB di sini, hari ini.

PETALING JAYA – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) perlu menjadi penanda aras kepada dunia dalam semua penyelidikan dari sektor huluan ke sektor hiliran berkaitan minyak sawit.

Menurut Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, sektor perladangan perlu mengeratkan lagi kerjasama bersama MPOB untuk mengetengahkan hasil penyelidikan yang ada.

“Industri sawit memberi sumbangan penting kepada ekonomi yang menjana lebih RM130 bilion kepada pendapatan negara.

“Antara teknologi yang boleh diketengahkan adalah penggunaan bahan tanaman sawit berkualiti yang dihasilkan melalui kemajuan bioteknologi dan teknik tisu kultur,” katanya ketika menghadiri sesi taklimat semasa kunjungan beliau ke Ibu Pejabat MPOB di sini, hari ini.

Pada kunjungan tersebut, Johari diberi taklimat mengenai peranan MPOB dan kemajuan bidang penyelidikan serta pembangunan yang meliputi semua aspek sawit.

Ketibaan beliau disambut oleh Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Beliau turut disertai oleh Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK), Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri dan Ketua Setiausaha KPK, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli.

Sehingga kini, MPOB telah membangunkan 714 teknologi merangkumi semua sektor dalam industri sawit termasuk formulasi produk makanan dan bukan makanan berasaskan sawit.

Sebanyak 233 teknologi atau 32.7 peratus daripada teknologi ini telah dikomersialkan dan diterima pakai oleh pelbagai industri dan usahawan.

“Teknologi MPOB yang sedia untuk dikomersialkan meliputi pengeluaran bahan tanaman berkualiti, baka klon sawit, formulasi baja sawit, teknik kawalan penyakit dan serangga perosak, mekanisasi ladang, teknologi pengilangan dan pemprosesan, teknologi hijau, formulasi produk makanan dan makanan haiwan serta produk oleokimia berasaskan sawit.

“Penyelidikan MPOB dilaksanakan bagi memenuhi keperluan industri dan menangani cabaran dalam dan luar negara,” katanya.

Dari segi penyelidikan, MPOB berjaya mengeluarkan genom sawit dengan matlamat melestarikan industri sawit melalui pengunaan bahan tanaman berkualiti dan alat pengesan baka benih sawit tulen untuk penanaman di ladang.

“Penyelidikan MPOB menghasilkan bahan tanaman sawit seperti PS1.1 dan Siri Klon Sawit yang meliputi CPS 1, CPS 2 dan CPS 3 yang ditawarkan kepada pihak industri bagi penanaman secara komersial bagi pengeluaran hasil sawit yang tinggi,” katanya.

Di bawah kepimpinan Datuk Seri Johari, MPOB tekad dalam memacu kemajuan industri sawit bagi menjana kesejahteraan ekonomi negara dan menjadi penggiat utama dalam sektor minyak sayuran global. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI