fbpx

Konflik Palestin-Israel: Askar Zionis curi 150 jenazah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jenazah penduduk yang diambil dan diserahkan semula oleh Israel dikebumikan di sebuah kubur besar di Rafah pada 26 Disember 2023. - AFP

BANDAR GAZA – Satu rakaman video yang disiarkan agensi berita AFP memaparkan penduduk Palestin mengebumikan semula jenazah-jenazah yang sebelum ini digali keluar dari sebuah kawasan perkuburan di Bandar Gaza.

Tindakan dipercayai dilakukan tentera Israel itu berlaku di tapak perkuburan kawasan kejiranan Al-Tuffah.

Dalam klip video tersebut, sejumlah lelaki menggunakan penyodok untuk mengebumikan semula jenazah-jenazah yang dikeluarkan.

“Kami terkejut melihat banyak jenazah digali semula pada pagi ini (kelmarin),” kata seorang penduduk tempatan bernama Aliwa. Dia merupakan antara yang terlibat dengan proses pengebumian semula itu. 

Turut boleh dilihat adalah kesan-kesan jejak di atas tanah berhampiran kawasan perkuburan tersebut yang menunjukkan askar Israel berkemungkinan menggunakan jentolak untuk menggali dan menggilis jenazah.

“Kami sedang mengumpul jenazah-jenazah yang digali di tanah perkuburan itu,” kata Aliwa sambil menambah, hanya sebilangan kecil jenazah telah dikenal pasti.

Pihak berkuasa Hamas kelmarin menuduh tentera Israel memusnahkan 1,100 kubur di tanah perkuburan tersebut dan mencuri 150 jenazah penduduk yang baru dikebumikan.

Menurutnya, tentera Israel menggunakan jentolak untuk menggali kira-kira 1,100 kubur di tanah perkuburan Al-Tuffah dan mencuri sejumlah besar jenazah.

“Jenazah-jenazah itu telah dibawa ke lokasi yang tidak diketahui sekali gus menimbulkan syak wasangka bahawa organ-organ mangsa perang Gaza berkemungkinan dicuri,” kata kenyataan berkenaan.

Pejabat itu turut menganggap penggalian kubur dan kejadian jenazah-jenazah dicuri sebagai satu jenayah keji.

Sementara itu, ketika dihubungi AFP untuk mendapatkan komen, tentera Israel berkata, ia sedang menyemak dakwaan itu tanpa memberikan sebarang ulasan lanjut.

Sejak melancarkan perang ke atas Gaza pada 7 Oktober lalu, Israel telah beberapa kali dituduh menggali kubur penduduk Palestin yang mati dan mencuri organ daripada mayat.

Pada Disember tahun lalu, pihak berkuasa Gaza berkata, sebilangan penduduk di Gaza yang mati syahid diterima daripada tentera Israel.

Namun, keadaan jenazah-jenazah yang diterima itu menunjukkan organ-organ dalamannya telah dicuri.

Pada November tahun lalu, pertubuhan Pemantau Hak-Hak Asasi Manusia Euro-Med berkata, ia telah mendokumentasikan kejadian askar Israel mencuri jenazah penduduk Palestin di Gaza. 

Tentera Israel telah membunuh lebih 22,000 penduduk Palestin dalam serangan di Semenanjung Gaza yang telah berlanjutan selama tiga bulan.

Berikutan keadaan wilayah Palestin itu yang dihujani dengan bom dan angka kematian yang banyak, pengebumian terpaksa dilakukan dengan segera di dalam kubur besar. – AFP/AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI