‘TENANG yang hilang.’ Itulah tajuk sebuah karya fotografi dihasilkan oleh Andrialis Abdul Rahman yang menggambarkan perjalanan seseorang mencari ketenangan dalam kehidupan penuh dengan cabaran dan ketidakpastian.
Menurutnya, karya itu juga menyentuh isu-isu seperti kehilangan, kekecewaan dan perubahan yang menggoncang kestabilan emosi.
“Karya ini dirakam dengan menggambarkan perjalanan dalam mencapai ketenangan seperti cuaca yang berubah-ubah bagi mencerminkan keadaan perasaan seseorang.
“Pemandangan yang digambarkan melibatkan warna-warna yang mencerminkan suasana hati seperti gradasi gelap untuk menunjukkan kegelapan dalam kehidupan. Warna-warna cerah pula merepresentasikan harapan,” katanya yang merupakan pensyarah fotografi di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Karya dihasilkan oleh Andrialis itu adalah salah satu koleksi imej daripada pelbagai genre fotografi yang menghiasi setiap sudut dinding di Galeri Seni Tuanku Nur Zahirah (Gesturz), UiTM Shah Alam, Selangor sempena pameran Fokus@50 baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Andrialis berkata, karya tersebut membangkitkan pertanyaan, bagaimana kehidupan yang penuh dengan ketidakpastian dapat membentuk karakter seseorang serta cara ketenangan sejati dapat dijumpai melalui pemahaman diri.
Karya itu juga mengajak penonton untuk menggali perasaan yang mendalam dan menghargai perjalanan menuju kedamaian jiwa.
“Karya ini saya ambil semasa berada di Passu Cones di Pakistan pada 2022.
“Saya tambah sedikit warna untuk memberi kesan dan makna tentang kehidupan,” jelasnya.
Sementara itu, mengulas tentang pemeran itu, Presiden Persatuan Fotografi Institut Teknologi Mara (ITM)/UiTM (Fokus), Prof. Dr. Mustaffa Halabi Azahari berkata, pemeran tersebut adalah satu manifestasi atau refleksi 50 tahun kewujudan Pengajian Fotografi di UiTM sejak 1973 sehingga 2023.
Menurutnya, itulah adalah matlamat terbesar mereka menganjurkan pameran tersebut.
“Untuk pameran ini, kami menjemput seramai 50 orang alumni. Kami juga dapat mengumpul 50 karya dalam pelbagai bidang fotografi yang mereka praktiskan di luar sana.
“Mereka yang terlibat dalam pameran ini adalah pelajar kumpulan pertama dan terkini.
“Apa yang dipaparkan pada pameran ini adalah hasil daripada karya mereka mengikut bidang kepakaran masing-masing dalam fotografi,” katanya.
Tambahnya, atas sebab itu, mereka memilih tajuk ‘Meraikan Kepelbagaian Dalam Fotografi’ untuk pameran itu.
Rata-rata alumni pengajian fotografi berkhidmat dalam bidang seperti fotografi kewartawanan, fotografi komersial, fotografi seni, fotografi fesyen dan lain-lain lagi.
Pada masa sama, Mustaffa Halabi menjelaskan, sebagai alumni pengajian fotografi, dia berasa amat bangga kerana UiTM yang dahulunya turut dikenali sebagai ITM telah menjadi pelopor dalam menawarkan program fotografi dalam sistem pendidikan di negara ini.

Sehubungan itu, pemeran tersebut menjadi satu wadah penting bagi alumni fotografi mempamerkan karya daripada pelbagai bidang yang mereka pelajari dan ceburi.
“Pada pameran ini, kami mengehadkan sebanyak 50 karya sahaja kerana ingin sesuaikan dengan sambutan 50 tahun kewujudan Pengajian Fotografi di UiTM.
“Sebenarnya, ramai lagi alumni yang ingin menyertai pameran ini, namun kita terpaksa mengambil langkah mengehadkan.
“Namun begitu, pada masa hadapan, kita bercadang untuk mengadakan pameran sebegini di tempat berprestij dalam bidang seni.
“Misalnya, Balai Seni Negara bagi memberi peluang kepada lebih ramai alumni mempamerkan hasil karya mereka,” jelasnya.
Dalam pameran itu, Mustaffa Halabi turut mempamerkan karya bertajuk ‘Royal Belum’.
Karya itu adalah imej fotografi yang memaparkan pemandangan alam semula jadi di salah satu kawasan air terjun di Royal Belum, Perak.
Seorang lagi peserta pameran, Jamil Mat Isa, yang juga alumni ITM pada tahun 1982 hingga 1985 tampil dengan hasil karyanya berkaitan fotografi burung.
Menurut lelaki berusia 60 tahun itu, kepakarannya lebih kepada fotografi burung.
Jelasnya, sempena pameran itu, dia mempamerkan karya seekor burung but-but ‘carik anak’ yang diambilnya kira-kira tiga tahun lalu di Malim Nawar, Perak.
“Sebenarnya, merakam gambar burung ini seperti memancing.
“Ia bergantung kepada rezeki, di mana kadang-kadang ada dan ada masanya tiada.
“Namun, usaha perlu sentiasa ada kerana burung mempunyai waktu aktifnya yang tersendiri.
“Kita perlu belajar tentang karakter dan tingkah laku burung itu dahulu, sebelum boleh mengambil gambarnya,” ulasnya.
Antara alumni lain yang menyertai pemeran tersebut termasuk Shahurin Mohd., 71, yang merupakan pelajar kumpulan pertama kursus fotografi di ITM pada tahun 1973.
Menurutnya, pada pameran itu, dia mempamerkan karya dokumentari sambutan Hari Kemerdekaan.
“Dokumentari ini saya rakam pada 2017 sekitar Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dengan menggunakan kamera telefon.
“Ketika itu, saya sudah tidak mempunyai kamera khas kerana telah pencen dan gambar ini diambil secara suka-suka dengan menggunakan kamera telefon,” ulasnya.
Tambahnya, disebabkan jiwa fotografi yang ada dalam dirinya, dia kemudian mendokumentari hasil-hasil itu untuk dipamerkan.
Mengulas tentang pengalamannya yang bekerja dalam bidang fotografi, Shahurin berkata, dia banyak menggunakan kamera analog ketika bertugas dahulu.
Katanya, dia tidak sempat menggunakan kamera digital seperti mana digunakan oleh kebanyakan jurugambar sekarang.
“Kamera analog ini jika kita melakukan kesilapan, kita tidak boleh ulang semula momen diambil.
“Ini kerana, hasil gambar yang kita ambil hanya dapat dilihat setelah filem dicuci,” terangnya.














