fbpx

Banjir Pahang kembali meningkat, cecah 1,075 mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mangsa banjir di Pahang yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 1,075 orang setakat jam 8 pagi ini.

KUANTAN – Keadaan banjir di negeri Pahang kembali memburuk dengan peningkatan secara mendadak jumlah mangsa banjir yang kini mencecah 1,075 orang setakat pukul 8 pagi ini berbanding semalam seramai 749 mangsa.

Jumlah terbabit meliputi 286 keluarga dari tiga buah daerah yang terjejas banjir iaitu Maran, Pekan dan Rompin.

Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, sebanyak 24 buah pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka dengan 10 darinya adalah di Maran dan tujuh masing-masing di Pekan dan Rompin.

Maran mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi yang ditempatkan di PPS iaitu seramai 440 orang daripada 101 keluarga.

Ia diikuti Rompin dengan 403 mangsa terjejas daripada 124 keluarga dan Pekan dengan seramai 232 mangsa daripada 61 keluarga telah ditempatkan di PPS.

Sementara itu, menerusi laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sebanyak tiga buah sungai berada di paras amaran iaitu sungai di stesen Lubuk Paku yang menunjukkan trend menurun, sungai di stesen Kuala Chini yang menunjukkan trend menaik dan sungai di stesen Paloh Inai yang menunjukkan trend menurun.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan ramalan ribut petir di enam daerah di Pahang iaitu Bentong, Jerantut, Lipis, Cameron Highlands dan Temerloh sementara hujan di Bera, Kuantan, Maran, Pekan dan Rompin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI