PETALING JAYA – Toh Yuen restoran makanan Cina yang terkenal di Hilton PJ di sini memiliki keunikannya tersendiri dalam menyajikan pelbagai menu makanan tradisional yang menyelerakan malah diinovatifkan agar ia memiliki elemen makanan sihat seiring dengan perubahan gaya hidup masyarakat masa ini.
Diketuai oleh Eksekutif Cef, Dixon Lai, gabungan pelbagai menu yang bersesuaian dengan cita rasa pelanggan yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur sehingga kepada warga emas membolehkan ia sentiasa menjadi pilihan khusus untuk sesi menjamu selera dalam majlis penting, keramaian atau musim perayaan.
Bagaimanapun sejak pembukan ekonomi selepas tempoh pandemik tahun lalu, restoran Toh Yuen yang turut terkesan dengan kekurangan pelanggan kini kembali aktif untuk mempromosikan keunikan masakannya.

Cef yang memiliki lebih daripada 25 tahun dalam bidang makanan Cina di beberapa buah hotel terkemuka di negara ini, telah merancang pelbagai aktiviti dan promosi menarik untuk mengetengahkan dan menaikkan semula imej restoran tersebut dalam kalangan pelanggan dan komuniti.
“Restoran ini menjadi pilihan golongan korporat manakala sebilangan kecil adalah daripada segmen keluarga dan juga individu,” katanya ketika ditemui di sini.
Baru-baru ini, restoran Toh Yuen telah mempromosikan hidangan unik idea kreativiti Lai yang menggabungkan menu masakan Cina dan Jepun yang digoreng, stim dan direbus dengan memiliki rasa yang lengkap pedas, masam dan manis.
Lai turut menyahut permintaan pelanggan yang mahukan hidangan lebih sihat, telah mengolah menu menggunakan bahan makanan alternatif sebagai ganti kepada penggunaan beras dan bahan lain agar ia lazat dinikmati tanpa menjejaskan rasanya.

Olahan masakan yang menggunakan bahan berkualiti seperti abalone, scallop, udang segar, ikan kod, cendawan liar, perut ikan khusus yang memiliki kolagen berkhasiat, jeruk cili yang enak dan pelbagai lagi membuatkan menu yang ditawarkan hasil daripada air tangan Lai memberi pengalaman menarik buat pengunjung yang menikmati makan malam di restoran berkenaan.
Antara menu yang disediakan Lai kepada pengunjung pada promosi akhir tahun lalu adalah Crispy Black Pepper Unagi Roll sebagai menu pembuka selera manakala makanan utamanya adalah, Pan-Seared Shrimp Cake bersama madu dan Flax Seed, Chilled Jumbo Scallop dengan Yellow Chilli Sauce, Double-Boiled Wild Fungus dengan Fish Maw Soup, Steamed Cod Fish, Braised 5-Head South African Abalone, Braised Fresh River Prawn dengan Luffa dan Fried Egg Noodle.
Selain itu, Double-Boiled Snow Pear dengan Snow Nest dan Osmanthus serta Deep-Fried Fresh Milk Roll turut disediakan sebagai pemanis mulut. -KOSMO! ONLINE















