fbpx
SEKIAN lama jauh daripada kemilau konsert, kemunculan semula Fauziah Latiff dalam persembahan mega pasti dinantikan. Pantas sahaja, khabar angin kononnya penghibur kesayangan ramai itu bakal beraksi di pentas solo tahun ini mengujakan khalayak.

Dilamar lagi, Fauziah Latiff takut kecewa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TERKENAL dengan santun lemah lembut dan sikap mudah mesra, Fauziah Latiff yang selesa membahasakan dirinya Jee Latiff hanya tergelak kecil saat diusik khabar angin dilamar sebuah syarikat pengurusan majlis terkenal untuk merealisasikan sebuah konsert solo.

Belum boleh berkongsi maklumat walaupun perbincangan ke arah kemenjadian sebuah konsert menampakkan petanda positif, Jee mengakui, selepas berbelas tahun tidak beraksi di sebuah pentas besar, banyak perkara perlu dipertimbangkan.
Hakikatnya, figura dihormati ramai itu enggan merebut peluang tanpa memikirkan kemampuan diri apatah lagi dia sudah terlupa bila kali terakhir menjayakan sebuah konsert disebabkan terlampau lama tidak beraksi.

SESEKALI Jee akan memenuhi permintaan stesen televisyen untuk muncul dalam program hiburan.

Berprinsip

Katanya, bukan tiada langsung memenuhi undangan persembahan, cuma semua itu boleh dikira dengan jari memandangkan fokus kini adalah Port Seni iaitu studio muzik yang dikelolakan sejak lebih sedekad lalu.

“Sejujurnya sebelum ini ada ramai yang datang merisik mempelawa saya mengadakan konsert tetapi terpaksa tolak dengan baik kerana tahu kemampuan diri jika tiada persediaan rapi.

“Prinsip saya pula mahukan yang terbaik, bukan sekadar tangkap muat atau main sambar sahaja kerana banyak faktor perlu diberi penekanan agar impaknya terus dirasai biarpun konsert sudah berakhir.

“Saya pula jenis cerewet apabila membabitkan hal kerja lebih-lebih lagi projek besar yang menuntut persediaan rapi seperti ini,” ujarnya mengenai khabar yang bertebaran itu.

MENYANYI tetap cinta nombor satu Jee yang terbabit dalam arena muzik sejak 37 tahun lalu.

Minta 6 bulan

Memahami keterujaan ramai, penyanyi Teratai Layu Di Tasik Madu itu turut meminta diberikan masa enam bulan untuk melakukan persiapan sebelum dapat tampil seperti yang dinantikan peminat.

Akui pemilik nama lengkap Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff, 53, itu, sama ada kolaborasi dengan promoter terbabit terlaksana, pokok pangkal adalah latihan jitu dendangan dibantu pasukan mantap.

“Apa pun semuanya belum dapat dikongsikan sama ada ya atau tidak, tetapi saya cuma mahu maklumkan saya perlukan masa enam bulan untuk memantapkan vokal serta perincian lain.

“Maklumlah lama tak beraksi dalam durasi panjang, jadi kita kena bersedia dulu mana tahu suatu hari nanti konsert ini dapat direalisasikan.

“Saya pun kena fikir tanggungjawab dan enggan kecewakan peminat. Kalau saya sendiri tahu diri tak bersedia, tak mungkin saya sanggup ambil risiko. Kalau betul saya nak buat (konsert), saya buat sungguh-sungguh,” kongsinya lagi.

Ditanya kenapa baru kini sedia membuat pertimbangan selepas banyak tawaran ditolak, Jee berkata, pintu hatinya semakin terbuka untuk meneliti lamaran yang hadir.

Ujarnya lagi, tiada niat mahu berlumba dengan teman seperjuangan lain yang bakal mengadakan konsert, sebaliknya dia mempunyai alasan konkrit.

“Apabila saya katakan bahawa kini sudah terbuka hati nak buat konsert, tidak bermakna saya terburu-buru hanya kerana tercabar melihat rakan lain mengadakan konsert.

“Kalau betul saya fikir begitu, sudah lama buat dengan ambil sahaja tawaran yang datang dan kerana itu juga saya minta berikan masa sekurang-kurangnya enam bulan untuk mempersiapkan diri,” ulasnya.

JEE terbuka hati mempertimbangkan pelawaan merealisasikan konsert selepas sekian lama tidak beraksi kerana kesungguhan penganjur yang juga kenalan lama.

Tunggu pengumuman

Pada masa sama, Jee enggan peminat meletakkan harapan terlalu besar berikutan faktor usia selain lama tidak beraksi yang mungkin menyukarkannya membawakan seleksi bernada tinggi seperti tiga dekad lalu.

“Saya tahu, kalau buat persembahan, tentunya peminat nak dengar lagu lama saya yang bernada tinggi.

“Memandangkan usia pun bukan muda lagi, saya harap peminat faham kerana kebanyakan lagu saya dari album Digamit Memori bernada tinggi.

“Mungkin untuk konsert itu kelak, akan kita buat sedikit penyesuaian susunan lagu dan sebagainya, selain melakukan latihan intensif,” ulasnya.

Sementara itu, diasak lagi mengenai anggaran tarikh keramat tersebut, sekali lagi Jee tersenyum dan meminta menunggu sebarang pengumuman.

“Semuanya belum diputuskan, apabila sudah benar-benar menuju waktu itu, kita akan umumkan dan buat masa sekarang apabila media tanya, kita berkongsi cerita dulu, “ katanya.

MEMINTA tempoh enam bulan untuk membuat persediaan terutama membabitkan vokal sebelum bersedia beraksi dalam persembahan mega.

Port Seni, ‘port’ makan

Mengulas aktiviti terkini, Jee yang masih memenuhi undangan tampil dalam program televisyen ligat mengendalikan studionya, Port Seni di Ara Damansara.

Mengambil dua aras daripada tiga tingkat premis komersial itu untuk operasi gelanggang pengkarya berlatih atau merakamkan lagu, Port Seni dianggap sebagai rumah kedua.

“Masa saya banyak dihabiskan di sini dalam memastikan operasi syarikat bersama rakan kongsi berjalan lancar selain berharap dapat menggilap bakat ramai pelapis,” katanya.

Terbaharu, Port Seni turut bekerjasama dengan cawangan Kacang Pool Haji yang beroperasi di tingkat bawah Port Seni menjadikan premis mereka sebagai ‘port seni port makan’.

“Inilah kerjasama yang baharu terjalin apabila ruang berkarya dan tempat makan berada di bawah satu bumbung, sekali gus menawarkan keselesaan buat pelanggan,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN