fbpx

Orang kita ‘mesra’ warga asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Jika ditanya kepada pekerja asing, rata-rata mereka mengakui seronok tinggal di negara ini. Malaysia dianggap sebagai ‘syurga’ buat warga asing kerana terdapat banyak peluang pekerjaan dan upah yang diberikan juga setimpal.

Pada cuti hujung minggu, mereka keluar ke bandar besar secara beramai-ramai untuk berjumpa rakan-rakan senegara dan saudara-mara selepas penat seminggu membanting tulang.

Isu kebanjiran orang asing terutama pendatang haram di negara ini bukan perkara baharu, malah operasi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) giat dijalankan oleh pihak berkuasa.

Bilangan mereka ini tidak pernah berkurangan, kalau tidak mana mungkin wujud ‘Little Dhaka’ di beberapa lokasi di ibu negara termasuk di Jalan Silang dan Jalan Abraham off Jalan Imbi yang pernah beberapa kali digempur pihak berkuasa sebelum ini.

Namun, apa yang membimbangkan sikap segelintir mereka mereka yang sudah berani mencabar pihak berkuasa. Ada yang mabuk, bergaduh, cabul, mendatangkan kecederaan, membunuh dan terbabit kes samun serta merompak menggunakan senjata api.

Jika sebelum ini warga asing datang ke Malaysia rata-rata mereka bekerja sebagai buruh dalam sektor 3D iaitu kotor (dirty), bahaya (dangerous) dan sukar (difficult).

Namun, sedikit demi sedikit mereka mula menguasai sektor lain seperti perniagaan dan terbaharu perkhidmatan sebagai pemandu e-hailing.
Kosmo! menerusi laporan muka depan pada 23 Disember lalu mendedahkan kegiatan warga asing menjadi pemandu e-hailing.

Pekerjaan itu sepatutnya diisi rakyat kita, malah antara syarat wajib permohonan adalah pemandunya mestilah warganegara Malaysia.

Mereka ini dipercayai menggunakan identiti (ID) pemandu tempatan menggunakan kaedah sewa beli ID.

Ada juga yang menyewa kenderaan rakyat tempatan untuk dijadikan sebagai ‘kereta sapu’ bagi mengangkut rakan-rakan senegara yang bekerja di kawasan yang sukar untuk mendapat akses kenderaan awam.

Itu belum termasuk mereka yang menjaja di tepi jalan menggunakan pelbagai taktik untuk mengumpan masyarakat kita terutama yang memiliki anak-anak kecil untuk membeli barangan yang mereka jual.

Penulis bukannya mahu pukul rata dan anti warga asing terutama PATI, namun peraturan dan undang-undang di negara ini mestilah dipatuhi.

Mereka ini berani kerana ada orang kita yang tamak dan bersikap tidak ambil peduli.

Mereka yang tamak haloba ini bersekongkol dengan menyewakan rumah, menggaji dan mengambil upah mengangkut PATI atau bekerja sebagai transporter.
Kumpulan ini yang melindungi pendatang haram di Malaysia.

Ada juga yang sanggup membutakan mata walaupun tahu kewujudan PATI di lokasi-lokasi tertentu.

Saya percaya jika masyarakat Malaysia bersama-sama mengambil peranan, isu warga asing terutama PATI di negara ini dapat dibanteras. Jangan sampai sudah terhantuk baru tengadah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN