fbpx

Kejayaan PADU diukur berdasarkan data tulen oleh rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Uzir bercakap ketika sesi pembentangan PADU pada majlis pelancaran PADU di Putrajaya hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAPA

PUTRAJAYA – Kejayaan dan keberhasilan pelaksanaan Pangkalan Data Utama (PADU) adalah berdasarkan ketulenan data yang diberikan oleh rakyat.

Ketua Pengarah Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, beliau menyeru kepada semua rakyat Malaysia supaya berkongsi data sebenar menerusi pangkalan data itu.

Beliau berkata, pihaknya akan tetap menggunakan data-data sedia ada daripada setiap agensi kerajaan tetapi pada masa sama, rakyat perlu menyemak dan mengemaskini semula data itu.

“Kami mahu rakyat sekali lagi menyemak dan kemaskini data-data itu membabitkan 39 data utama. Kita mahu perkhidmatan (PADU) kerajaan ini berpaksikan kepada senario semasa rakyat.

“Ini sebenarnya data rakyat, dari rakyat dan untuk rakyat dalam bentuk pembentukan polisi kerajaan dan melancarkan bantuan kewangan dan sosial,” katanya ketika sesi pembentangan PADU pada majlis pelancaran PADU, di sini hari ini.

Justeru, katanya, setiap rakyat perlu bertanggungjawab menyemak dan mengisi maklumat yang sahih, tepat dan terkini menerusi pangkalan data itu.

Mohd Uzir berkata, antara 39 data dan maklumat yang perlu disemak termasuk maklumat asas, alamat, pendidikan, isi rumah, pekerjaan, pendapatan, komitmen dan bantuan.

Menurutnya, 39 data itu boleh disemak secara dalam talian dan kaunter pendaftaran di 44 pejabat operasi Jabatan Perangkaan (DOSM), 911 Pusat Ekonomi Digital (PEDI) dan 27 Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara.

“Operasi pendaftaran di buka tujuh hari seminggu bermula jam 8 pagi hingga 5 petang bermula hari ini hingga 31 Mac depan.

“Kami juga akan berada di lapangan termasuk luar bandar dan pedalaman bagi memastikan pendaftaran PADU itu lebih menyeluruh,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI