fbpx

Alumni inspirasi graduan Kolej KEDA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISMASUHAIMI (empat dari kiri) bersama penerima-penerima Anugerah Alumni Kolej KEDA sempena Majlis Town Hall Alumni Kolej KEDA di Sungai Petani, kelmarin. – Shahir Noordin

SUNGAI PETANI – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) te­rus mengukuhkan kerjasamanya dengan seluruh alumni Kolej KEDA terutama dalam aspek menambah baik pendidikan di institusi itu dan meningkatkan kebolehpasaran graduan kolej tersebut.

Jalinan kerjasama itu diterjemahkan menerusi penglibatan 200 alumni Kolej KEDA pada Maj­lis Town Hall Alumni Kolej KEDA dan Kerjasama Strategik bersama Industri di sebuah hotel di Sungai Petani, dekat sini kelmarin.

Pengurus Besar KEDA, Ismasuhaimi Shariff berkata, majlis tersebut berjaya menghimpunkan alumni kolej dari segenap tahun dengan kejayaan yang diraih mereka menjadi inspirasi kepada bakal graduan Kolej KEDA.

“Kita adalah satu keluarga, satu komuniti yang saling menyokong dan menginspirasikan terutama kepada bakal graduan Kolej KEDA. Semangat kekitaan yang terpancar daripada setiap wajah yang hadir hari ini melambangkan solidariti antara kita.

“Diharapkan agar ukhuwah yang terbina ini berterusan dan menjadi platform untuk terus mencipta peluang dalam me­lonjakkan kerjaya pada masa hadapan.

“Sesi town hall ini adalah me­dium paling ampuh dalam menterjemahkan fungsi alumni kepada pelajar kolej dan masyarakat,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis berkenaan.

Ismasuhaimi berkata, alumni boleh berkongsi ilmu dan pe­ngalaman masing-masing untuk menambah baik banyak perkara dalam aspek pendidikan antaranya berkaitan silibus, kebajikan, imej dan kebolehpasaran graduan Kolej KEDA.

“Malah, Persatuan Alumni Ko­lej KEDA yang diadakan pemilihannya hari ini juga diyakini dapat menggerakkan silaturahim sesama almuni dan pihak pengurusan.

“Sehingga kini, terdapat seramai 8,100 alumni sejak Kolej KEDA ditubuhkan pada tahun 1989,” ujarnya.

Selain itu, menurut Ismasuhaimi, jalinan hubungan dengan alumni yang menceburi pelbagai jenis perniagaan juga penting terutama daripada segi mendapatkan kepakaran dan khidmat nasihat berkaitan pembangunan kurikulum serta teknologi terkini dalam industri.

“Kerjasama rapat juga membolehkan kebolehpasaran gra­duan ditingkatkan, yang mana ketika ini kebolehpasaran graduan Kolej KEDA berada pada paras 95 peratus,” ujar­nya.

Kolej KEDA kian proaktif dengan menjalankan program Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang menawarkan tujuh bidang kemahiran meliputi program Teknologi Automatif, Teknologi Kimpalan, Teknologi Elektrik, Tek­nologi Motosikal, Teknologi Makanan, Teknologi Fabrik Lelaki dan Wanita serta DKM Teknologi Penyejukbekuan dan Penyaman Udara.

“KEDA bekerjasama dengan pemain industri untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada graduan Kolej KEDA. Kita mahu meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan daripada 95 peratus ketika ini kepada 100 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, kontraktor elek­trik dan pe­nerima Anugerah Ikon Alumni Kolej KEDA, Mohd. Rodzi Suid, 42, berkata, pihaknya sentiasa membuka peluang kepada pelajar dan gra­duan Kolej KEDA untuk menjalankan latihan industri dan be­kerja di syarikatnya.

“Graduan Kolej KEDA ini cekap serta mempunyai kemahiran yang sangat baik dalam bidang pengajian yang diceburi,” katanya yang merupakan graduan sijil Teknologi Elektrik Kolej KEDA pada tahun 2002.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI