SETIU – Cuaca panas yang berlarutan sejak awal bulan Mac lalu menjejaskan kualiti buah tembikai dihasilkan pengusaha di Kampung Nyatoh, di sini.
Kebanyakan buah tembikai tidak membesar mengikut saiz optimum ditetapkan iaitu sekurang-kurangnya tujuh kilogram (kg).
Salah seorang pengusaha, Mohd. Azhar Ibrahim, 45, mendakwa, tumbesaran buah tembikai diusahakannya terbantut akibat cuaca panas.
“Sebiji buah tembikai perlu mencapai saiz antara tujuh dan lapan kilogram untuk dikategorikan dalam gred premium yang boleh dijual pada harga tinggi.
“Begitupun rata-rata buah tembikai yang dihasilkan pada pusingan kali ini hanyalah gred B dan C,” dakwanya ketika ditemui di Kampung Nyatoh, di sini semalam.
Mohd. Azhar berkata, rupa buah tembikai dihasilkan juga terjejas akibat cuaca panas dengan fizikalnya sedikit ‘kemik’.
Dakwanya, rata-ratanya tembikai di kebunnya juga cepat masak berbanding kebiasaannya minimum 60 hari selepas ditanam.
“Ia menyebabkan kami sukar memasarkan tembikai ke pasaran luar ekoran kebanyakan buahnya tidak mencapai gred ditetapkan.
“Mahu tidak mahu, kami terpaksa menjual sendiri di tepi kebun dengan harga lebih murah,” katanya.
Seorang lagi pengusaha, Sabri Razali, 42, pula mendakwa, selain cuaca panas, masalah tumbesaran tembikai diusahakan mereka turut disumbang oleh kekurangan sumber air.
“Pokok-pokok tembikai yang sedang membesar perlu disiram sekurang-kurangnya tiga kali sehari namun kali ini perlu dicatu.
“Ia disebabkan kebanyakan sumber air seperti telaga tiub dan kolam tadahan semakin mengering ekoran musim kemarau,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE














