fbpx

Pelajar maut berlumba pada malam tahun baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELAJAR tingkatan enam maut selepas dipercayai berlumba motosikal dengan rakannya di Jalan Tun Abdul Razak, Melaka, awal pagi tadi.

MELAKA – Seorang pelajar tingkatan enam maut selepas motosikal yang dia tunggang bergesel dengan motosikal rakannya ketika berlumba di Jalan Tun Abdul Razak, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.35 pagi itu, mangsa berusia 19 tahun yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Abdullah disahkan meninggal dunia di lokasi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Chiristopher Patit berkata, polis menerima maklumat kemalangan kira-kira pukul 4.40 pagi di kaunter Aduan Trafik Melaka Tengah.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR datang dari arah jejambat Kota Cemerlang menuju ke arah Lampu Isyarat Taman Muzaffar Shah.

“Mangsa tiba-tiba menukar ke lorong kanan untuk memintas motosikal jenis Yamaha 135LC ditunggang rakannya yang juga pelajar sekolah lain berusia 17 tahun sebelum kedua-duanya bergesel,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, akibat kemalangan itu, mangsa telah tercampak ke atas jalan raya, manakala rakannya sempat mengawal motosikal dan terselamat tanpa sebarang kecederaan.

“Kita telah merakam percakapan rakannya bagi membantu siasatan dan setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI