PETALING JAYA – Golongan muda terutama milenial dan Gen Z yang kerap menukar tempat kerja bukan semata-mata kerana mahukan upah yang setimpal, sebaliknya untuk menajamkan kemahiran dalam bidang masing-masing.
Pengarah Urusan Jobstreet, Vic Sithasanan berkata, kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini menyebabkan makin ramai penduduk di Malaysia terutama orang muda sentiasa mencari peluang pekerjaan yang menawarkan upah yang berbaloi.
“Generasi muda (terutama milenial dan Gen Z) sekarang begitu menekankan tentang kepuasan dalam bekerja, gaji setimpal dan kebolehan untuk mereka bekerja dari rumah,” katanya ketika dihubungi di sini baru-baru ini.
Menurut Vic Sithasanan, dalam mencapai kepuasan bekerja, golongan tersebut akan mengelakkan diri daripada ‘terjerat’ dengan pihak pengurusan yang tidak profesional, diskriminasi, politik dalaman selain kekurangan peluang untuk maju dalam karier sedia ada.
“Sekiranya perkara ini berlaku, generasi muda tidak teragak-agak untuk menukar kerja dan mencari kerjaya baharu yang lebih bersesuaian dengan ‘jiwa’ mereka,” katanya.
Jelasnya, job hopping juga boleh dilihat sebagai salah satu strategi untuk mendapatkan gaji lebih tinggi berbanding tempat kerja sekarang.
“Walau bagaimanapun, untuk maju dalam karier, orang muda perlu fokus dan memantapkan skil selain merapatkan hubungan dengan pemain industri yang dianggap sebagai mentor,” katanya.
Sebelum ini, kajian Law of Attraction oleh Jobstreet mendapati ada tiga faktor utama yang mempengaruhi pekerja untuk menukar pekerjaan iaitu ketidakseimbangan kerja, tiada pampasan yang
setimpal dan kekurangan peluang untuk membangunkan karier.
“Work-life balance (keseimbangan karier dan hidup) merupakan keutamaan bagi pekerja muda. Malah, ramai yang menganggap keseimbangan ini lebih ‘berharga’ daripada peningkatan gaji.
“Malah, lebih ramai orang muda mencari majikan yang dapat membantu mereka menguruskan masa dengan lebih baik. Pengurusan masa yang mantap secara tidak langsung dapat memberikan kepuasan, peningkatan produktiviti dan kegembiraan bekerja.
“Walau bagaimanapun, gaji yang setimpal juga penting kerana ramai orang muda yang meletakkan peningkatan gaji asas sebagai faktor utama bertukar kerja,” katanya.
Bagi mengelakkan masalah terus berlaku, majikan disaran supaya lebih fleksibel dan menukar strategi seperti menawarkan gaji kompetitif selain perlu menyesuaikan diri dengan trend sedia ada bagi menarik minat generasi muda.
“Majikan juga boleh mewujudkan program bimbingan, amal budaya terbuka, rangka pelan hala tuju pertumbuhan kerjaya yang jelas dan memastikan pekerja dan orang atasan berkomunikasi secara jelas,” kata beliau.
Bagi mereka yang sedang mencari kerja, beliau menyarankan pekerja meluangkan lebih banyak masa untuk menajamkan skil sedia ada supaya lebih menonjol dalam
pasaran kerja yang lebih kompetitif.
“Bagaimanapun, elakkan daripada melompat kerja terlalu kerap kerana ia boleh mendatangkan persepsi negatif kepada bakal majikan.
“Orang muda dinasihatkan agar tidak melompat kerja demi gaji semata-mata. Ada banyak lagi faktor lain yang perlu diambil kira.
“Kadang kala, amalan melompat kerja ini boleh membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Ramai yang tidak gembira dengan persekitaran tempat kerja yang baharu walaupun mendapat kenaikan gaji yang setimpal.
“Sebelum bertukar kerja, intai dahulu budaya di tempat kerja baharu serta peluang yang dapat mereka berikan. Jika ia selaras dengan perjalanan karier, barulah berpindah,” kata beliau.
















