SEBUT sahaja Cameron Highlands, sudah pasti kita terbayangkan suasana nyaman dan sejuk serta pemandangan yang cantik dan juga buah-buahan segar seperti strawberi yang ditanam sendiri pengusahanya.
Kedudukan kawasan tanah tinggi itu sebagai salah satu pusat pelancongan terkemuka di negara menarik puluhan, malah ratusan ribu pelancong dari dalam dan luar negara setiap tahun.
Cuma satu masalah yang tidak dapat diselesaikan hingga ke hari ini iaitu kesesakan melampau menuju ke Cameron Highlands sama ada melalui laluan Tapah atau pun Simpang Pulai.
Cameron Highlands memerlukan satu pelan mitigasi kesesakan lalu lintas yang komprehensif dan efektif dalam jangka panjang. Jika dulu, kesesakan teruk atau luar biasa hanya berlaku ketika musim cuti sekolah, tetapi sejak beberapa tahun lepas, cuti hujung minggu pun mengalami jumlah trafik yang agak tinggi menghala ke pusat pelancongan itu.
Masalah ini telah berlarutan sejak sekian lama tanpa ada satu penyelesaian konkrit dilakukan pihak terbabit menyebabkan ramai orang yang ingin berkunjung ke sana memutuskan untuk melancong ke tempat lain.
Memang benar masih ramai yang ke sana hingga berlaku kesesakan teruk, tetapi percayalah jika masalah ini diatasi segera, ramai lagi yang akan ke Cameron Highlands untuk bercuti bersama keluarga.
Bayangkan di waktu puncak terutama musim cuti sekolah, untuk perjalanan 1 atau 2 kilometer memakan masa hampir satu jam. Bukankah itu satu penyiksaan buat pemandu kenderaan.
Lebih teruk, di tapak-tapak perniagaan sepanjang perjalanan menuju Brinchang, kawasan parkir amat terhad sehingga kereta dan bas diletak sesuka hati di bahu jalan, menambahkan lagi kesesakan jalan.
Dalam hal ini, kerajaan perlu membina lebih banyak tempat letak kenderaan untuk pelancong serta fasiliti lain di satu lokasi yang sesuai seperti parkir bertingkat.
Hakikatnya, kesesakan trafik adalah disebabkan tiada tempat untuk meletakkan kenderaan, sedangkan gerai banyak dibina sepanjang jalan di tanah tinggi itu.
Antara yang boleh dilakukan ialah melebarkan jalan di beberapa lokasi seperti berhampiran Ladang Teh Sungai Palas hingga Kea Farm menuju ke pekan Brinchang.
Dalam pada itu, ramai menyambut baik keputusan kerajaan untuk membina jalan baharu dari Habu ke Tanah Rata, Cameron Highlands dengan kos sebanyak RM480 juta bagi mengatasi kesesakan yang berlaku ketika ini seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi pembentangan Belanjawan 2023 yang lalu.
Adalah diharapkan agar projek berkenaan dapat dipercepatkan bagi membolehkan mereka yang melancong ke kawasan tanah tinggi itu boleh datang dan pulang dengan tenang tanpa serabut memikirkan kesesakan di sepanjang perjalanan.
Penambahbaikan itu perlu memandangkan masalah kesesakan itu telah menjadi bualan dan rungutan banyak pihak sejak sekian lama.














