fbpx

Usahawan bumiputera guna platform pesta tingkat jualan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad (kiri) meninjau reruai Pavilion Penangpreneur di tapak Pesta Pulau Pinang di sini, malam tadi.

SEBERANG PERAI – Kerajaan negeri komited menyediakan peluang buat usahawan bumiputera yang menyertai Pesta Pulau Pinang untuk mengembangkan perniagaan, sekali gus memasarkan produk ke peringkat antarabangsa.

Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, ia susulan program pesta yang dijadikan acara tahunan itu bukan sahaja menarik kehadiran penduduk tempatan, malah kehadiran pelancong luar negara yang turut semakin bertambah.

“Keterlibatan usahawan dalam pesta sepanjang hampir sebulan itu mendapat sambutan amat menggalakkan.

“Ini membuktikan bahawa inovasi oleh usahawan Melayu bumiputera mampu diketengahkan bukan saja dalam pasaran tempatan, tetapi juga berupaya untuk diperluaskan ke pasaran antarabangsa dan difahamkan ada yang sudah sampai ke tahap itu.

“Baki pesta hanya tinggal tiga hari lagi saya harap ramai pengunjung dapat mengambil peluang terutama dalam musim cuti sekolah untuk datang memberikan sokongan dan beli kerana ada banyak produk yang disediakan,” katanya selepas melawat Pavilion Penangpreneur di tapak Pesta Pulau Pinang, di sini, malam tadi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar negeri, Rashidi Zinol berkata sebanyak 11 reruai percuma disediakan khusus buat para usahawan di sekitar negeri ini.

“Ini adalah kali pertama Pavilion Penangpreneur dibuka di tapak Pesta Pulau Pinang dengan penyertaan hampir 30 usahawan dan kebanyakannya berpuas hati dengan sambutan yang diberikan pengunjung setakat ini.

“Selain itu, kita turut akan adakan post mortem selepas ini bagi melihat apa penambahbaikan yang boleh dilakukan selain meneliti lebih banyak produk yang berpotensi untuk diketengahkan.

Dalam pada itu, Operator Desamall Perda di Pesta Pulau Pinang, Muhammad Ajmal Asrul berkata, kebanyakan pengunjung tidak menyangka kebanyakan produk yang sememangnya sudah terkenal ada dijual di pesta terbabit.

“Kebanyakan pelancong luar seperti Pahang dan Johor antara pelanggan yang datang melawat reruai dan membeli pelbagai produk yang dipasarkan.

“Terdapat lebih 100 produk di sini dan paling popular terjual adalah sambal,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI