fbpx

Mahsuri penyelamat ekonomi Langkawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengunjung beratur untuk menaiki kereta kabel di SkyCab Langkawi, Jalan Telaga Tujuh baru-baru ini.

LANGKAWI – Jumlah kemasukan pelancong ke Langkawi mencecah tiga juta orang pada tahun ini sekali gus membuktikan pulau lagenda itu masih menjadi lokasi pilihan pelancong untuk bercuti.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, pihaknya berharap jumlah pelancong akan melebihi jumlah itu pada tahun hadapan dengan pihaknya akan memberi tumpuan kepada kemudahsampaian (accessibility).

“Kita sedang mempromosi Langkawi kepada pelancong ­asing yang singgah di sini menerusi kapal persiaran mewah supaya mereka menginap lebih lama di sini.

“Tahun ini pelancong sudah cecah tiga juta dan tahun hadapan, kita mengharapkan ada lebih banyak daripada itu,” katanya pada sidang akhbar selepas sambutan kapal persiaran mewah di Langkawi Cruise Terminal, Tanjung Malai di sini semalam.

Menurut Haslina, walaupun LADA telah mengadakan pelbagai promosi, namun kemudahsampaian perlu dititikberatkan dalam memudahkan pengunjung untuk masuk ke situ.

Tambahnya, Langkawi sebagai sumber rujukan utama bagi geotapak yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di rantau Asia sekali gus mengga­lakkan kedatangan pelancong.

Sementara itu, rata-rata pelancong menjadikan lokasi bersejarah dan tumpuan untuk dilawati ketika menghabiskan cuti sekolah di sini.

Sebahagian pelancong bergambar di Dataran Lang ketika bercuti di Langkawi semalam.

Pelancong mendakwa, le­genda Mahsuri dan pelbagai lokasi bersejarah menjadikan Pulau Langkawi kekal sebagai destinasi pilihan mereka untuk menenangkan fikiran.

Tinjauan Kosmo! di Dataran Lang di sini mendapati, ramai pelancong tidak melepaskan peluang untuk bergambar di lokasi ikonik tugu replika burung he­lang yang menjadi identiti pulau bersejarah itu.

Seorang pelancong dari Ban­ting, Selangor, Siti Nurhaliza Ahmad Sabri, 26, berkata, dia dan keluarganya ke Dataran Lang sebagai lokasi terakhir yang wajib dilawat sebelum menaiki feri untuk pulang.

“Kami menginap selama empat hari tiga malam di rumah inap di Kuah, dan telah melawat Makam Mahsuri, Pantai Chenang, namun tidak berkesempatan naik kereta kabel,” katanya di sini kelmarin.

Sementara itu, seorang lagi pelancong dari Kluang, Johor, Shahida Soib, 40, menyatakan feri yang dinaikinya ke sini dipenuhi pengunjung.

“Kami juga menempah tiket lebih awal dalam beberapa bulan lepas kerana hendak memastikan kami dapat masuk dan keluar Langkawi, tetapi sekarang semuanya boleh dibeli secara online.

“Walaupun jauh, kami suka ke sini kerana anak-anak sangat berminat dengan sejarah dan le­genda Mahsuri dan lebih empat kali sudah ke sini,” katanya.

Pengunjung dari Melaka, Muhammad Nabihan Abu Bakar, 32, berkata, dia bercuti ke sini kerana sukakan ketenangan dan keindahan pantai Langkawi.

“Saya tidak jemu dengan kecantikan pantai Langkawi. Sekiranya hendak bercuti untuk mencari ketenangan, saya akan memilih Langkawi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI