WUJUD polemik dalam kalangan pelaku dan pemerhati seni bahawa pertandingan nyanyian zaman sekarang tidak membantu dalam usaha mencungkil bakat-bakat muzik baharu.
Kalau dilihat dari kaca mata arus perdana, pertandingan nyanyian berbentuk program realiti seperti Gegar Vaganza, Big Stage, Famili Duo hanyalah ‘mencungkil’ bakat seni sedia ada bukan dari peringkat akar umbi.
Perkara tersebut dibangkitkan penyanyi senior, Aris Ariwatan kepada penulis baru-baru ini.
Menurutnya, situasi itu tidak sepatutnya dibiarkan kerana tidak akan memajukan industri seni tanah air sedangkan negara-negara lain seperti Indonesia masih mewujudkan pertandingan nyanyian yang datang daripada susah payah proses audisi secara fizikal.
Sedangkan di Malaysia, program-program yang sedia ada zaman sekarang sepertinya mengitar semula bakat-bakat lama atau sedia ada.
“Dulu nak masuk pertandingan nyanyian bukan main susah. Pergi uji bakat dari satu negeri ke satu negeri.
“Zaman sekarang, menyanyi viral sikit di TikTok boleh dah masuk bertanding. Itu belum kira yang masuk bertanding adalah penyanyi-penyanyi sedia ada.
“Kalau dibiarkan begini, memang ‘lingkup’ industri seni muzik kita. Balik-balik muka yang sama,” kata Aris atau nama sebenarnya, Harris Fadzillah Daud.
Sebenarnya, ada benar juga apa yang diperkatakan Aris. Kalau balik-balik muka yang sama, memang tidak ke mana industri muzik tanah air.
Di Sabah dan Sarawak misalnya, ada ramai pemuzik dan penyanyi hebat, namun disebabkan kurang platform dulu-kala seperti Akademi Fantasia, Malaysian Idol atau Mentor, maka bakat mereka tidak ‘terbang’ jauh.
Dalam pada itu, penyanyi Datuk Hattan senada dengan Aris Ariwatan bahawa pertandingan nyanyian berbentuk program realiti zaman sekarang tidak lagi mencungkil bakat dari peringkat akar umbi.
Hattan atau nama sebenarnya, Mohd. Shukri Shahabudin berkata, kalau benar-benar jayakan talent scout (pencarian bakat), jangan terlalu bermegah menjual drama demi memancing rating.
“Inilah jadi bila zaman album dah berlalu. Orang sibuk dengan benda-benda digital.
“Saya tak nak cakap tentang kitar semula bakat, tetapi zaman digital sekarang terlalu banyak sangat program yang sepatutnya memartabatkan seni negara dilacurkan dengan unsur dramatik atau emosi.
“Budak-budak yang lahir daripada program realiti zaman sekarang bukan tak bagus. Mereka bagus. Contoh macam Nadeera dan Elica Paujin, mereka bagus, tapi mana sokongan orang selepas habis Big Stage?
“Bagi sayalah, budak-budak sekarang ramai yang bagus tapi bagus yang nak kekal lama dalam industri, itu yang payah nak jumpa.
“Nak ada longevity dalam kerjaya seni sampai berpuluh-puluh tahun, itu yang kita nak cari bukan setahun dua bekerja dalam bidang ini,” ujar Hattan lagi.














