fbpx

Kerajaan sekat kapal Israel, ZIM berlabuh di Malaysia – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan untuk menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel iaitu ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, susulan itu, Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan segera dengan mengenakan larangan kekal terhadap syarikat itu berkuat kuasa serta-merta.

“Sekatan itu adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin.

“Untuk rekod, Kabinet pada 2002 mula membenarkan kapal milik syarikat itu berlabuh di Malaysia.

“Pada 2005, Kabinet ketika itu memberi kebenaran kepada kapal tersebut untuk mendarat di Malaysia, namun kerajaan hari ini memutuskan untuk membatalkan semua keputusan yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan akhbar tadi.

Anwar berkata, pada masa yang sama, kerajaan turut memutuskan untuk tidak lagi menerima kapal yang menggunakan bendera Israel berlabuh di Malaysia.

“Selain itu, Malaysia juga mengenakan larangan kepada mana-mana kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia.

“Kedua-dua sekatan itu berkuat kuasa serta-merta. Malaysia yakin keputusan tersebut tidak akan menjejaskan kegiatan perdagangan Malaysia,” tegasnya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI