fbpx

Saya tunggu 20 tahun untuk jejak pentas AJL – Naqiu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pertama kali bertanding di pentas AJL selepas 20 tahun menanti penuh kesabaran, Naqiu terharu dengan peluang diberikan. - M. FIRDAUS M. JOHARI

SHAH ALAM – Penyanyi Naqiu bersyukur apabila impiannya untuk menjejakkan kaki ke pentas berprestij, Anugerah Juara Lagu (AJL), akhirnya tercapai selepas penantiannya selama 20 tahun.

Walaupun peluang tersebut diraih sebagai penyanyi ganti apabila menyanyikan lagu milik Faizal Tahir berjudul Santai ketika Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-38 (SFMM38) semalam, Naqiu tetap berbangga dan terharu apabila impiannya untuk berada di pentas AJL tercapai.

“Akhirnya saya dapat jejakkan kaki ke pentas AJL. Perkara yang sudah lama saya idamkan dan kejar selama ini.

“Saya kejar peluang untuk berada di pentas AJL selama 20 tahun. Hari ini (semalam) akhirnya menjadi kenyataan, walaupun sebagai penyanyi ganti,” katanya kepada Kosmo! Online.

Lebih membuatkan penyanyi berusia 37 tahun itu terharu apabila, dalam ramai-ramai penyanyi yang ada, Faizal Tahir memilihnya untuk menyanyikan lagu tersebut.

“Selain itu, saya juga bersyukur sebab dalam ramai-ramai penyanyi, saya menjadi pilihan Faizal Tahir untuk menggantikan tempatnya menyanyikan lagu Santai di pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-38 (SFMM38).

“Apabila lagu tersebut berjaya mara sebagai 12 finalis lagu ke pentas AJL, saya sangat bersyukur dan gembira. Peluang itu merupakan satu pencapaian baharu dalam karier saya,” katanya.

Naqiu yang ditemui usai pengumuman 12 finalis yang berjaya mara ke AJL38 di sini, semalam, juga mahu membuktikan kepada Faizal bahawa pemilihannya untuk menjadi penyanyi ganti, adalah tepat.

“Di pentas AJL nanti, saya hanya mahu fokus untuk membuat persembahan yang terbaik sahaja. Saya tidak mahu fikir tentang keputusan, sebab pengembaraan saya untuk berada di pentas AJL sangat panjang dan berliku.

“Sejujurnya, memang saya rasa terbeban jadi penyanyi ganti. Sebab Faizal Tahir sendiri merupakan antara idola saya dalam industri. Antara top 3 pemuzik, Faizal Tahir adalah salah seorangnya.

“Bila dia sendiri yang minta saya gantikan, mula-mula memang saya termenung kejap, rasa macam mampi. Tapi apa-apa pun, saya akan lakukan yang terbaik,” jelasnya.

Ketika disoal tentang lagu yang bakal memberi saingan sengit di pentas AJL38 nanti, Naqiu atau nama lengkapnya Wan Naqiuddin Mohd. Najib itu amat mengagumi lagu nyanyian Aina Abdul (Jangan Mati Rasa Itu) dan Aisha Retno (Sutera).

“Saya jangkakan lagu nyanyian Aina dan Aisha bakal memberi saingan sengit di pentas AJL38 nanti. Seperti Aisha misalnya, saya sifatkan penyanyi itu memiliki karakter yang sama seperti saya.

“Dia sangat bersungguh ketika membuat persembahan di atas pentas. Lagi satu, Aisha sangat intelektual dalam muzik. Saya sangat suka dengan lagu Sutera,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI