KLANG – Wabak Covid-19 yang kembali menyerang sebahagian masyarakat membuatkan seorang wanita terpanggil untuk berkongsi pengalamannya yang ditidurkan selama tujuh hari hingga membuatkannya hanya melihat kegelapan dan merasakan hampir mati.
Wanita yang dikenali sebagai Yani, 37, berkata, kejadian tiga tahun lalu itu tetap segar dalam ingatannya selepas disahkan dijangkiti Covid-19 tahap empat sebelum ditidurkan ketika dirawat unit rawatan rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini pada Jun 2020.
Katanya, ketika ditidurkan dengan tong oksigen, dia hanya melihat kegelapan dan menyangka rohnya bakal dijemput Ilahi.
“Ketika itu program vaksinasi belum dilaksanakan. Waktu itu saya alami lelah dan demam panas yang teruk sehingga tubuh turut menggigil lalu pengsan di rumah.
“Semasa di ICU, saya tidak menyedari apa-apa kecuali diselubungi kegelapan dan terjaga seminggu kemudian,” katanya sambil menahan sebak.
Yani berkongsi pengalamannya sebagai memberi peringatan ekoran kerajaan mengeluarkan arahan untuk pengambilan dos penggalak ketiga vaksin Covid-19 terutama bagi golongan rentan dan berisiko tinggi ekoran penularan semula virus itu dalam kalangan masyarakat ketika ini.
Menurut kakitangan swasta itu, keadaannya semakin tenat sehinggakan majikan dan rakan sekerjanya turut mengadakan majlis doa selamat dan bacaan Yasin.
Bagaimanapun, tambahnya, nyawanya masih panjang dan diberi peluang kedua untuk hidup biarpun sebahagian besar paru-parunya telah dipenuhi kuman dan kekurangan oksigen.
“Syukur apabila saya sembuh dan dibenarkan pulang ke rumah selepas sebulan bernafas dengan bantuan tong oksigen di hospital,” ujar ibu kepada tiga anak itu.
Ujar Yani, dia terpaksa mengambil cuti tambahan selama sebulan kerana tubuhnya masih lemah dan sukar bergerak selain tempoh untuk sembuh sepenuhnya bagi pesakit kritikal terlalu panjang.
“Keluarga dan anak-anak menjadi suntikan semangat utama buat saya untuk terus berjuang melawan virus Covid-19,” katanya.
Sehubungan itu, Yani menasihati orang ramai kembali mengamalkan pemakaian pelitup muka terutama di lokasi sesak bagi mengelak penularan dan terkena jangkitan.
“Covid-19 amat menyeksakan jika dijangkiti dan boleh meragut nyawa tanpa mengira mangsa atau masa,” katanya.















