fbpx

Amang seksual: Pemuda Orang Asli diperintah ke Henry Gurney

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang pemuda Orang Asli diperintah ke Sekolah Henry Gurney di Telok Mas, Melaka oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun, pada Mac tahun lalu.

Hakim, Tasnim Abu Bakar menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh berusia berusia 20 tahun tersebut mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit.

“Demi kepentingan awam dan tiada rekod jenayah lampau malah usia yang masih muda, kamu diperintah untuk ditahan di sekolah itu sehingga mencapai 21 tahun. Perintah berkenaan dibuat mengikut Seksyen 76 Akta Kanak-Kanak 2001,” kata hakim itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa, di tangga sebuah blok residensi di Wangsa Maju, pukul 7 malam hingga 8 malam pada 4 Mac tahun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh disebat, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Ikhwan Mohd. Nasir mencadangkan, lelaki itu dikenakan hukuman setimpal.

“Mahkamah perlu kira faktor kepentingan awam dan hukuman perlu memberi kesedaran kepada tertuduh serta masyarakat,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam, menyerahkan keputusan berkenaan kepada pihak mahkamah.

“Saya ikut saja,” rayu pemuda Orang Asli itu sebelum Mahkamah Sesyen menjatuhi hukuman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI