fbpx
ANZALNA mengakui golongan wanita diganggu individu berstatus VIP bukan satu perkara asing dalam dunia seni.

‘Asalkan bentuk badan menarik, memang VIP, suami orang himpit’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pendedahan beberapa selebriti wanita mengenai gangguan individu berstatus VIP membuka mata banyak pihak, pelakon Anzalna Nasir mengakui situasi sedemikian bukanlah sesuatu asing dalam dunia hiburan tanah air.

Ujar Anzalna atau nama sebenarnya Nur Anzalna Md. Nasir, 38, rupa paras dan bentuk tubuh menarik sering menjadi perhatian, sekali gus mengundang gangguan daripada lelaki miang dan tidak bertanggungjawab.

“Terbaca kisah rakan selebriti diganggu VIP. Sebenarnya, sama ada ada rupa atau tidak, asalkan bentuk badan menarik, memang akan ada VIP atau suami orang cuba mendekati. Tidak kisah apa pekerjaan sekali pun.

“Sepanjang saya bergelar pelakon, saya pilih untuk ada kekasih supaya orang tidak berani kacau,” katanya dalam Threads.

Tambah pelakon drama Mamu Mami Gosip itu, keputusan memiliki pasangan ketika aktif dalam industri seni menjadi ‘perisai’ daripada gangguan tidak diingini.

“Saya beritahu sudah berpunya sampai ada tanya, ‘tak takut hilang populariti sebab ada teman lelaki?’

“Tetapi saya tidak kisah. Apa penting, saya selamat daripada ‘buaya darat’.

“Sampai ke mana-mana saya akan bawa Hanif demi keselamatan diri dan sekarang dia sudah jadi suami saya,” ujarnya.

Perkongsian tersebut mencetus pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, rata-rata terkejut realiti dunia hiburan tidak seindah disangka.

“Memang betul, bukan artis sahaja, orang biasa pun boleh kena kalau tak berhati-hati. Tak sangka dunia hiburan tempatan kita begitu.

“Seram dengar, rupanya benda macam ini memang berlaku.

“Bagus Anzalna kongsi, sekurang-kurangnya jadi peringatan untuk wanita lain,” tulis beberapa netizen.

Namun, terdapat juga segelintir pihak beranggapan perkara tersebut tidak wajar dinormalisasikan meskipun diakui berlaku dalam realiti kehidupan.

Terdahulu, pelakon Zara Zya mendedahkan pengalaman hitam apabila didakwa dibawa ke sebuah bilik hotel untuk bertemu seorang VIP pada awal pembabitannya dalam industri.

Menurutnya, dia diminta melakukan perkara tidak senonoh sebelum nekad melarikan diri kerana ketakutan, sekali gus mencetuskan perbincangan hangat mengenai isu gangguan terhadap wanita dalam industri hiburan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN