fbpx

Polis sudah terima dashcam bantu siasatan Zayn Rayyan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hussein ketika ditemui pemberita di Istana Alam Shah, Klang hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/ KOSMO!

KLANG – Polis sudah menerima sejumah rakaman video papan pemuka (dashcam) pemilik kenderaan yang diletakkan di kediaman Apartmen Idaman, Damansara Damai dekat sini bagi membantu siasatan berhubung pembunuhan seorang kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya sedang menjalankan semakan terhadap dashcam tersebut bagi memperoleh petunjuk baru berhubung kes tersebut.

“Ada sudah dashcam (diberikan) tetapi kita sedang review sebab dashcam ini kan lama dan panjang.

“(Berapa banyak dashcam diperoleh)Saya belum dapat jumlahnya lagi tetapi kita sudah terimalah,” katanya ketika ditemui pemberita di Istana Alam Shah di sini hari ini.

Terdahulu, beliau hadir bagi menerima Darjah Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S) yang membawa gelaran Dato’ sempena Hari Keputeraan Sultan ke-78 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.

Menurut Hussein, pihaknya mempercayai mayat Zayn Rayyan dibuang ketika waktu hujan sebelah petang pada Rabu lalu oleh penjenayah sebelum mayatnya dijumpai kira-kira pukul 10 malam di saluran air berdekatan takungan air iaitu 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman.

Tambahnya, penjenayah juga mungkin menggunakan laluan tikus yang banyak di lokasi tersebut.

“Pagi hari yang sama, kita ada buat pencarian tetapi tidak jumpa. Jadi, kita jumpa malam dan percaya pada petang tersebut (dibuang penjenayah) sewaktu hujan lebat.

“Kita tidak jumpa barang (termasuk guni bagi membawa mayat) yang boleh menjurus kepada penjenayah. Kita masih berusaha mencari. Di situ pun banyak laluan tikus dan boleh parkir somewhere ( di sekitar atau luar apartmen itu),” ujarnya.

Kata beliau, pemeriksaan di sebuah stor di Apartmen Idaman berkenaan adalah bagi mencari padanan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) berhubung kes kanak-kanak berkenaan.

“Kita hendak melihat atau menyiasat siapa yang berlegar di situ. Stor itu untuk penyimpanan barangan lusuh dan kitar semula. Jadi, adakah kemungkinan penjenayah ada kat situ dan kita melihat cap jari dan DNA di situ (stor).

“Siasatan masih terbuka dan kita melihat dalam pelbagai sudut sama ada dalam atau luar kawasan itu. Kita tidak mahu terlepas mana-mana angle,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menolak sebarang kemungkinan dan spekulasi mangsa telah dibuli sebelum ini.

“Tiada buli, cuma ada kecederaan due to struggle. Itu sahaja dan ada kesan jerut. Kita percaya ada sekurang-kurangnya seorang individu (terlibat). Kita sudah tengok semua angle, database polis, mass screening dan berharap akan menemui petunjuk positif sehingga boleh tangkap penjenayah ini.

“Kita pun tidak mahu bekerja bawah spekulasi yang boleh memesongkan fokus kita. Beri ruang polis bekerja dengan faktalah,” katanya.

Pada Rabu lalu, Kosmo! melaporkan mayat Zayn Rayyan ditemui dalam keadaan terbaring berdekatan anak sungai berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai dekat sini.

Hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh mendapati terdapat kecederaan pada leher dan badan mangsa seterusnya membuatkan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI