fbpx

Madani Afiat saring kesihatan penduduk PPR, KRT percuma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zaliha bersama timbalannya, Datuk Lukanisman Awan Sauni ketika menyempurnakan Majlis 'Flag Off' Mobilisasi Madani Afiat dan saringan kesihatan di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini. Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan program Mobilasi Madani Afiat dan saringan kesihatan secara percuma melibatkan 800 penduduk bagi memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, saringan kesihatan itu dilaksanakan membabitkan 380 buah rumah di flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, PPR Permai, PPR Bukit Jalil dan juga Dewan Rukun Tetangga (KRT) Taman Salak Selatan, di sini sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Malaysia Madani.

“Bagi kami di KKM, ini adalah satu pengiktirafan di mana (Madani Afiat) ini diberikan keutamaan untuk mengakhiri program yang menunjukkan satu tahun Kerajaan Madani.

“Jadi, pada hari ini, seramai 135 anggota terdiri daripada pelatih Institut Latihan Kementerian Kesihatan (ILKKM), jururawat kesihatan dan pergigian serta 50 pegawai farmasi akan menjalankan saringan kesihatan menerusi lawatan rumah ke rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis ‘Flag Off’ Mobilisasi Madani Afiat dan Ujian Saringan Kesihatan di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini hari ini.

Zaliha berkata, aktiviti saringan kesihatan itu bertujuan untuk mengesan dan mencegah risiko penyakit tidak berjangkit atau ‘Non Communicable Diseases’ (NCD) selain mendekati dan menyantuni rakyat secara lebih dekat.

“Menerusi aktiviti saringan yang telah dilaksanakan sebelum ini bagi penduduk berusia 18 tahun ke atas, sejumlah 1,776 buah rumah berjaya disaring melalui tujuh program Madani Afiat,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Zaliha berkata, peningkatan jangkitan kes Covid-19 ketika ini hanya melibatkan kes ringan dan tidak membebankan fasiliti kesihatan.

“Namun, kita tetap menggalakkan rakyat mengambil langkah untuk berjumpa doktor jika mempunyai gejala dan melakukan saringan serta mengasingkan diri sekiranya dijangkiti,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI