fbpx

Tipu pelabur: Datuk diarah bayar RM600 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Lelaki bergelar Datuk yang didakwa menipu ratusan pelabur membabitkan kerugian kira-kira RM1 billion diarah oleh Mahkamah Tinggi di Malaysia dan United Kingdom (UK) untuk membayar Kumpulan Zavarco lebih RM600 juta atas pelbagai pelanggaran tugas fidusiari.

Eksekutif Pelabur, Perhubungan Pelabur Zavarco BS Maniam berkata, ia membabitkan penghakiman muktamad dari mahkamah di Malaysia dan UK terhadap individu terbabit atas pelbagai kesalahan korporat dan penyelewengan dana termasuk pecah amanah.

“Beberapa penghakiman itu termasuk sebanyak 101.5 juta Euro (kira-kira RM512 juta) di Mahkamah Tinggi UK kerana bersalah mengeluarkan saham syarikat awam (Zavarco Plc) kepada dirinya tanpa membayar balasan tunai.

“Penghakiman sebanyak RM29 juta (tidak termasuk faedah) di Mahkamah Tinggi Malaysia kerana secara salah memanipulasi akaun Zavarco Berhad untuk menuntut wang bagi dirinya sendiri sebagai bayaran balik untuk pendahuluan pengarah.

“Penghakiman RM61 juta (termasuk ganti rugi punitif dan teladan tetapi tidak termasuk faedah) di Mahkamah Tinggi Malaysia kerana melesapkan RM 12 juta wang pelabur ke dalam akaun peribadinya,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya sedang mengesan kesahihan dakwaan suspek turut terbabit dalam kegiatan pelaburan.

“Sebelum ini, kami ada terima laporan dibuat seorang lelaki warga asing berkaitan isu pembelian saham didakwa tidak wujud pada 16 April 2019 dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Hasil siasatan dilakukan mendapati pengadu membuat pembayaran hampir RM40 juta ke dalam akaun diberikan suspek bagi pegangan saham dalam sebuah syarikat miliknya (suspek), namun saham dijanjikan tidak diperoleh,” katanya.

Beliau berkata, suspek sudah memulangkan wang pelaburan pengadu sebanyak RM10 juta secara berperingkat selain turut menyerahkan pegangan sahamnya di sebuah syarikat berpengkalan di luar negara kepada pengadu.

“Dapatan siasatan ini kemudian dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya yang memutuskan supaya pengadu memulakan tindakan sivil bagi menuntut kerugian dialaminya.

“Bagaimanapun, pihak polis sedang dalam tindakan untuk mengesan kesahihan dakwaan yang menyatakan suspek turut terbabit dalam kegiatan penipuan pelaburan,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ didakwa menipu ratusan pelabur dengan janji manis apabila menjual nama rakan kongsinya yang bergelar ‘Tan Sri’ melalui 18 syarikat pelaburan.

Tidak hanya menyasarkan rakyat biasa, malah syarikat swasta, kerajaan, golongan profesional seperti doktor serta pelabur antarabangsa turut dijadikan mangsa yang sehingga kini jumlah kerugian dianggarkan hampir RM 1 billion.

Sekretariat Mangsa Penipuan Ranjeet (Maper), Shah Abdul Malek, 50, berkata, individu berkenaan pada awalnya memberi jaminan pulangan yang tinggi sehingga enam peratus setiap bulan bagi setiap wang yang dilaburkan.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI