fbpx

Sistem digodam, Perkeso jamin operasi harian tidak terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memberi jaminan bahawa operasi harian agensi itu tidak terjejas meskipun sistem pangkalan maklumat dan laman sesawang diserang penggodam, sejak Sabtu lalu.

Perkeso dalam kenyataan berkata, pihaknya telah mengaktifkan pelan pengurusan krisis dengan menggerakkan unit teknologi dan komunikasi maklumat (ICT) bagi tujuan pemulihan sistem.

Menurutnya, peringkat awal modus operandi serangan siber itu dikenal pasti bertujuan untuk melumpuhkan segenap infra Perkeso yang digunakan bagi pengoperasian seharian.

“Bagaimanapun, kejayaan unit ICT Perkeso mendapatkan semula kawalan sistem akhirnya menyebabkan penggodam menukar taktik dengan cuba melancarkan serangan ‘character assasination’ (pembunuhan watak) terhadap imej Perkeso.

“Perkeso memberi jaminan, usaha terancang ini tidak akan merencatkan khidmat kepada pencarum, majikan dan orang ramai,” katanya, hari ini.

Justeru, Perkeso berkata, segala pembayaran faedah, pampasan dan pencen ilat kepada pencarum serta waris akan tetap dilaksanakan mengikut tempoh diperuntukkan.

Mengulas kebocoran maklumat yang dipaparkan di ‘dark web’, hasil penelitian awal Perkeso mendapati kesahihan data yang dicuri oleh penggodam adalah tidak lengkap dan luput.

Katanya, hal itu kerana satu kluster data yang dicuri tidak pernah dicerap oleh Perkeso, sejak ia ditubuhkan pada Oktober 1971.

“Serangan siber terhadap Perkeso ini bukan kali pertama, sebaliknya siri pencerobohan sudah berlaku, dengan kali terakhir pada September lalu dan berjaya dibendung.

“Segala hasil forensik akan dikongsikan kepada pihak berkuasa demi mengelak episod sama berulang terhadap agensi lain,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI