fbpx

Ops Tiris: 6.5 juta liter diesel subsidi dirampas sejak 1 Mac

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pihak KPDN ketika melakukan serbuan di sebuah premis di Klang, Selangor baru-baru ini. -Foto KPDN

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas sebanyak 6.5 juta liter diesel bersubsidi dengan rampasan keseluruhan bernilai RM88.88 juta menerusi Ops Tiris sejak 1 Mac hingga Rabu lepas.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, sebanyak 14,529 pemeriksaan telah dilakukan oleh pihaknya di seluruh negara dalam tempoh tersebut.

Katanya, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 767 kes telah berjaya dihasilkan oleh pihaknya.

“Sebanyak 638 tangkapan juga telah dilakukan dalam tempoh yang sama melibatkan 531 individu warganegara, warga asing (105) manakala pemastautin tetap (dua),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, KPDN ingin memberi amaran keras ke atas mana-mana individu atau syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan, mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

“Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613),” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, pihaknya berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi ops berkenaan di sebuah premis tanpa nama di Klang, Selangor pada Rabu lepas.

Azman berkata, serbuan yang dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa daripada KPDN Selangor kira-kira pukul 2.30 pagi itu turut merampas 12,100 liter diesel serta beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel bernilai RM218,015.

“Empat orang lelaki, dua daripadanya warga asing yang mengaku sebagai pekerja di premis terbabit serta pemilik lori berkenaan, berusia lingkungan 25 hingga 30 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut termasuk sumber minyak diesel ini diperolehi dan diedarkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI