fbpx

Mahkamah: Wanita sumbing dan suami mengaku lakukan amang seksual terhadap budak 15 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairul Hizwan dan Norehan dibawa polis selepas pertuduhan di Mahkamah Sesyen Klang, hari ini. -Foto oleh AFIQ RAZALI/KOSMO!

KLANG – Sepasang suami isteri dengan seorang daripadanya sumbing berdepan penjara sehingga 30 tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, bulan lalu.

Pasangan tersebut masing-masing berumur 32 dan 35 tahun itu membuat pengakuan bersalah termasuk membiarkan remaja tersebut melihat perbuatan seksual mereka selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noridah Adam.

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit yang melakukan kerja-kerja kampung dan wanita sebagai suri rumah masing-masing didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan memegang dada remaja perempuan itu bagi tujuan seksual.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017.

Wanita terbabit yang sumbing dan suaminya juga didakwa secara bersama melakukan amang seksual bukan fizikal dengan menyebabkan remaja berkenaan memerhati perbuatan bersifat seksual mereka.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 15 (d) AKSTK 2017 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Lelaki itu juga didakwa satu lagi pertuduhan menyimpan beberapa video lucah di dalam telefon bimbitnya dan dengan itu boleh dihukum penjara selama tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan.

Kesemua perbuatan itu dilakukan pasangan suami isteri itu pada 12 November dan 1 Disember lalu antara pukul 1.13 tengah hari dan 8.45 malam di sebuah rumah di Kampung Bukit Changgang, Kuala Langat dekat sini.

Timbalan Pendakwa Raya Suriantiazila Muhamad tidak menawarkan sebarang jaminan ekoran pasangan tertuduh tersebut tinggal dalam kawasan lot perumahan yang sama dengan keluarga mangsa.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam hanya tunduk diam tanpa membuat sebarang rayuan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan sebarang jaminan dengan tarikh fakta kes dan jatuh hukum pada 5 Januari tahun depan. -KOSMO! ONLINE.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI