fbpx

Konflik Palestin-Israel: Rafah ‘santuari’ terakhir rakyat Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR satelit menunjukkan kem bantuan PBB di Rafah, selatan Semenanjung Gaza pada 3 Disember lalu. – MAXAR TECHNOLOGIES/ AFP

RAFAH – Plastik dipasang sebagai khemah dam dahan-dahan kayu pula digunakan untuk membuat unggun api ketika pelarian Palestin berkumpul di hujung selatan Semenanjung Gaza, lokasi terakhir untuk mereka menyelamatkan diri.

Beratus-ratus ribu rakyat Palestin melarikan diri dari Khan Younis yang merupakan bandar utama di selatan Semenanjung Gaza dan kini digasak oleh tentera Israel.

Mereka menuju ke Rafah yang terletak kurang 10 kilometer di sempadan tertutup Gaza-Mesir.

Ramai dalam kalangan mereka telah bergelar pelarian sejak beberapa minggu lalu selepas melarikan diri ke selatan untuk mengelakkan pertempuran sengit Israel dan Hamas di utara Gaza.

“Kami tiba di sini (Rafah) tanpa tempat berteduh dan menempuh hujan malam tadi (kelmarin). Tiada apa-apa untuk dimakan. Tiada roti, tiada tepung,” kata pelarian Palestin, Ghassan Bakr kepada AFP.

Kedai-kedai runcit di Rafah, seperti juga tempat lain di Semenanjung Gaza, semuanya kosong. Di pasar pula, petani yang boleh mengusahakan tanah mereka masih menjual tomato, bawang, kobis dan sayuran lain.

Di kaki lima jalan, kanak-kanak berebut-rebut mendapatkan semolina (bubur gandum) di dalam periuk besar yang disediakan oleh badan amal. Mereka mengikis dasar periuk dengan mangkuk dan bekas plastik untuk mendapatkan kerak makanan yang ada.

Penduduk Palestin di Semenanjung Gaza hidup dalam ‘kengerian yang semakin dahsyat’, kata ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin, hampir dua bulan selepas perang tercetus.

Perang pada 7 Oktober lalu menyebabkan 75 peratus daripada 2.4 juta penduduk Semenanjung Gaza terpaksa menjadi pelarian di tanah air sendiri.

Ia tercetus selepas Hamas melancarkan serangan berdarah terhadap Israel yang menyebabkan 900 orang terbunuh dan 240 yang lain dijadikan tebusan.

Kementerian kesihatan Hamas di Gaza menyatakan bahawa 16,248 penduduk Gaza terbunuh sejak kempen keganasan Zionis bermula, lebih daripada 70 peratus daripada mereka ialah wanita dan kanak-kanak.

Di Rafah, khemah-khemah sementara didirikan di tanah terbiar berpasir di celah-celah bangunan separuh siap, dengan jemuran untuk mengeringkan pakaian.

Di sekelilingnya pula, terdapat beg pakaian, timbunan kayu api dan pelarian berkeliaran dengan membawa tong untuk mencari air.

“Berlaku pengeboman, kemusnahan, pengguguran risalah, ancaman dan panggilan telefon mengarahkan kami untuk berpindah dan meninggalkan Khan Younis. Namun kemana lagi kami harus pergi?” tanya warga Gaza, Khamis al-Dalu.

Lebih daripada 80 peratus penduduk Gaza kini sama ada pelarian atau keturunan pelarian yang dihalau atau meninggalkan tanah mereka ketika Israel diasaskan pada tahun 1948.

“Ke mana lagi anda mahu kami pergi, demi Tuhan?” sambung Dalu lagi

“Kami meninggalkan Khan Younis dan kini kami berada di dalam khemah di Rafah, tanpa bumbung, tanpa dinding,” katanya.

Sementara itu di Khan Younis, pertempuran sengit berterusan kelmarin. Di jalan-jalan yang lengang, beberapa penduduk yang masih tinggal menyusuri runtuhan bangunan untuk membawa mereka yang cedera ke hospital.

“Kami sedang duduk dan tiba-tiba serangan udara berlaku. Kepala saya terkena batu,” kata Hussein Abu Hamada kepada AFP.

Seorang wanita yang melarikan diri ke Rafah, Ummu Shadi Abu el-Tarabeech bertanya: “Apa salah kami?”

“Kami tidak membawa senjata api, kami bukan pengganas dan kami tidak melakukan apa-apa yang buruk. Kami ialah orang awam yang tidak berdaya. Kami terpaksa berpindah randah untuk mencari perlindungan,” katanya. – AFP

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI