fbpx

Ibu bapa kanak-kanak maut kurang nutrisi ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Ibu bapa kepada kanak-kanak berusia enam tahun yang ditemukan meninggal dunia di flat di Bandar Tun Razak, di sini, 2 Disember lalu ditahan polis bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, penahanan terhadap suami isteri yang masing-masing berusia 30-an dilakukan kelmarin.

Katanya, lelaki terbabit yang bekerja sebagai penunggang e-hailing serta isterinya direman tujuh hari bermula semalam hingga 13 Disember ini.

“Siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Dua lagi anak pasangan berkenaan masing-masing berusia tujuh dan tiga tahun pula dalam keadaan sihat dan kini ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Difahamkan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun berkenaan (mangsa) dilahirkan pramatang yang menyebabkan dia mengalami beberapa masalah kesihatan,” katanya pada Majlis Perasmian Balai Polis Setiawangsa, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan punca kematian kanak-kanak perempuan itu disebabkan kekurangan nutrisi dan makanan sekali gus menjurus kepada unsur pengabaian.

Terdahulu Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin, dilaporkan berkata, seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun disyaki mangsa dera dan pengabaian ditemui meninggal dunia di kediamannya di sebuah flat di Bandar Tun Razak, Cheras.

Mangsa ditemui tidak sedarkan diri oleh bapanya kira-kira pukul 2.30 petang sebelum dikejarkan ke Hospital Tunku Azizah di sini, kira-kira pukul 3.40 petang untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia.

Menurutnya, polis sudah merakam keterangan bapa mangsa dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI