fbpx

[VIDEO] Lokasi penemuan Zayn tiga kali sudah dilakukan pencarian – Polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Fakhrudin ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

PETALING JAYA – Mayat kanak-kanak autistik yang dilaporkan hilang sejak semalam, ditemui di lokasi sama yang sebelum ini termasuk dalam radius pasukan mencari dan menyelamat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan faktor hujan lebat dan air naik di kawasan anak sungai dan longkang berhampiran menyebabkan mangsa Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, tidak dapat ditemui sebelum ini.

Katanya, dua operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan pihak polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta penduduk setempat sudah dilakukan sejak malam kelamarin.

“Pencarian di kawasan berkenaan sudah dibuat sejak malam semalam dan petang tadi, namun tidak menemui sebarang petunjuk bahawa mangsa ada di kawasan berkenaan.

“Justeru, disebabkan kekangan faktor cuaca dan keadaan sekitar menyebabkan Zayn tidak dapat ditemui dalam pencarian sebelum ini sehinggalah mayatnya ditemui dalam keadaan mengiring dalam sungai, pada jam 10 malam tadi,” katanya dalam sidang akhbar selepas mayat Zayn dibawa keluar.

Mohamad Fakhrudin berkata, sebaik ditemui oleh penduduk bersama pihak polis yang menjalankan operasi SAR, pihaknya terpaksa menutup lokasi kejadian bagi membolehkan siasatan awal dibuat.

“Kita kemudian memanggil Unit Forensik Polis Selangor, sebelum membawa mayat Zayn ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat.

“Pada masa ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) sebelum sebarang keputusan diperoleh,” katanya.

Mayat Zayn kemudian dibawa keluar pada jam 12 malam tadi dengan kawasan persekitaran Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini, penuh sesak dengan penduduk sekitar dan orang ramai yang membanjiri kawasan berkenaan. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI