fbpx

Anggota Malbatt meninggal dunia di Lubnan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Faridah Abd Rahman yang bertugas bagi misi Pasukan Pengaman Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL), di Lubnan meninggal dunia baru-baru ini.

PETALING JAYA – Seorang anggota Malaysian Battalion 850-11 (Malbatt 850-11), Sarjan Faridah Abd Rahman yang bertugas bagi misi Pasukan Pengaman Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL), di Lubnan meninggal dunia, awal pagi semalam.

Markas Angkatan Tentera Malaysia dalam kenyataan berkata, Faridah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan apabila rebah setelah turun dari bas di Kem Marakah, sekitar pukul 2.25 pagi (waktu Lubnan).

Jelasnya, Pegawai Tidak Tauliah Kanan (PTTK) itu bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam MALBATT dan baru pulang ke Lubnan setelah selesai bercuti di Malaysia.

“Jenazah Allahyarhamah akan dihantar ke Hospital Hammoud, Saida untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Proses bedah siasat tersebut akan dilaksanakan pada hari ini pada pukul 10.30 pagi waktu Lubnan atau pukul 3.30 petang waktu Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelas kenyataan itu, Markas Angkatan Bersama (MKAB) yang berperanan menyelaraskan semua keperluan operasi dan misi ATM di luar negara termasuk atur gerak MALBATT 850- 11 bagi Misi UNIFIL akan menguruskan proses penghantaran pulang jenazah ke Malaysia.

“Sebarang perkembangan akan dimaklumkan selanjutnya,” katanya.

Faridah Abd Rahman, 39, merupakan anak kelahiran Pendang, Kedah mula memasuki perkhidmatan ATM dengan menyertai Tentera Darat sejak 2007 sebelum ditugaskan di dalam Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT).

Beliau sebelum ini bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam di Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Di Raja (MEKANIZE), Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, Kedah sebelum di atur gerak menyertai Misi MALBATT 850-11 UNIFIL.

Beliau juga telah mendirikan rumah tangga serta mempunyai empat orang anak iaitu tiga perempuan dan seorang lelaki berusia antara 4 hingga 10 tahun.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI