PETALING JAYA – Seorang lelaki bertopeng yang ditembak mati selepas menyerang Balai Polis Ulu Tiram di Johor Bahru, Johor awal pagi kelmarin memang berniat mahu membunuh anggota polis.
Tindakan itu dibuat selepas pemuda berusia 21 tahun tersebut dipercayai terpengaruh dengan ideologi kumpulan militan terkenal, Daesh.
Ia berdasarkan penemuan beberapa barangan termasuk bahan bacaan berkaitan dengan kumpulan pengganas antarabangsa itu yang ditemukan di rumah lelaki tersebut dalam serbuan kelmarin.
Menurut sumber, suspek yang bergerak seorang diri menyasarkan untuk melakukan serangan ke atas balai polis pada hari kejadian kerana menganggap darah anggota pasukan keselamatan itu ‘halal’ untuk dibunuh.
“Suspek dipercayai termakan dengan ideologi atau dakyah yang diterapkan oleh kumpulan pengganas Daesh yang mana perbuatan membunuh anggota keselamatan adalah halal.
“Anggota Polis Diraja Malaysia juga ‘halal’ dibunuh kerana cuba mengekang kegiatan mereka di negara ini,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.
Daesh merupakan sebuah kumpulan pengganas yang terlibat melakukan aktiviti-aktiviti melampau serta menyalahi undang-undang termasuk membunuh atas nama perjuangan ‘jihad’.
Kumpulan tersebut dipercayai menyebarkan propaganda termasuk secara maya bagi merekrut orang ramai termasuk golongan muda untuk menyertai mereka atas alasan untuk berjihad sebagai jalan singkat untuk ke syurga.
Mangsa yang terpengaruh dengan dakyah kumpulan itu boleh memilih cara berjihad sama ada melalui sumbangan tenaga atau pun derma.
Kosmo! semalam melaporkan tiga orang termasuk dua anggota polis berpangkat konstabel terbunuh dalam kejadian serangan berdarah ke atas Balai Polis Ulu Tiram pada pukul 2.30 pagi kelmarin.
Dalam kejadian itu, seorang lagi anggota polis berpangkat koperal mengalami kecederaan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Mangsa, Ahmad Azza Fahmi Azhar yang bertugas di pejabat pertanyaan dan Muhamad Syafiq Ahmad Said yang merupakan anggota prowler maut akibat ditetak dengan parang sebanyak tiga kali selain ditembak.
Susulan kejadian itu, anggota polis menembak mati penyerang yang berusia 21 tahun tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan militan.
Sebelum kejadian, dua orang awam iaitu lelaki berusia 22 tahun dan wanita berusia 21 tahun yang juga pelajar institusi pengajian tinggi swasta datang ke balai itu untuk bertanyakan berhubung siasatan kes cabul dua tahun lalu dipercayai untuk mengalihkan perhatian.
Ketika mereka sedang membuat laporan polis, suspek kemudian masuk ke kawasan balai polis dengan menunggang motosikal dan terus ke bahagian belakang balai berkenaan.
Anggota polis yang menyedari kejadian itu segera mendapatkan suspek sebelum lelaki itu bertindak menetak leher anggota terbabit sebanyak tiga kali dan merampas senjata api.
Dua anggota lain turut cedera akibat terkena tembakan.
Seorang daripada anggota tersebut maut dalam keadaan mengerikan apabila terkena tembakan pada bahagian pipi yang menembusi kepala. -KOSMO! ONLINE














