fbpx

‘Teacher bila bomba nak sampai’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FATHIN SYAZWANI (kanan) bersama bayi dan kanak-kanak Tadika Ummiku Sayang, Nong chik, Johor Bahru, semalam. - Foto oleh RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

JOHOR BAHRU – “Teacher saya tak nak mati, bila bomba nak sampai,” itu kata-kata seorang murid tadika yang menangis apabila air mulai naik di dalam kelas di Tadika Ummiku Sayang dalam kejadian banjir dan hujan lebat di Nong Chik di sini semalam.

Bagaimanapun tindakan pantas tiga guru tadika terbabit memindahkan dengan segera anak-anak muridnya dengan duduk d iatas meja menyelamatkan keadaan sebelum ketibaan anggota bomba dan penyelamat.

Situasi yang kelam kabut dan berlaku terlalu pantas itu menyebabkan segala peralatan sekolah termasuk buku, almari, pakaian serta perkakas alat tulis rosak.

Seorang guru tadika, Fathin Syazwani Hanifah, 27, berkata, ketika kejadian seramai kira-kira 38 murid tadika termasuk seorang bayi berusia tiga bulan berada di dalam premis berkenaan.

“Apabila saya lihat di luar dan air mulai naik dengan pantas, saya bersama dua orang guru dan seorang tukang masak bergegas memindahkan kesemua murid dengan duduk diatas meja.

“Saya terpaksa menenangkan mereka kerana menangis dan merasa amat takut apabila air mulai masuk ke dalam kelas sehingga paras pinggang,” katanya kepada pemberita di sini.

Menurutnya, air dari Sungai Chat yang terletak kira-kira 100 meter di belakang tadika naik dengan cepat beserta arus dan hujan terlalu lebat kira-kira pukul 2.30 petang.

Dia kemudian menghubungi kesemua ibu bapa murid bagi memberi tahu keadaan banjir yang berlaku dan menyuruh mereka datang.

Pihak bomba dan JPAM yang dihubungi tiba kira-kira setengah jam kemudian dan menyelamatkan murid-murid tadika tersebut dengan menaiki sampan ketempat yang selamat.

“Apa yang ada dalam fikiran saya ialah selamatkan dulu kanak-kanak ini kerana mereka masih kecil dan perlukan perhatian apabila menghadapi situasi seperti ini,” katanya lagi.

Hujan lebat selama tiga jam bermula 1.30 tengah hari itu mengakibatkan kawasan Nong Chik dilanda banjir sehingga dua meter.-KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI