fbpx

Salun rambut tular caj mahal di Bukit Bintang, didenda RM5,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pekerja salun ketika dipanggil ke pejabat KPDN memberi keterangan pada April lalu.

KUALA LUMPUR – Padah gagal memaparkan senarai caj perkhidmatan dandanan rambut, seorang pemilik salun rambut yang tular di Bukit Bintang apabila mengenakan caj mahal, didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Norina Zainol Abidin menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Nurul Jannah Abdullah, 52, selepas wanita itu selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah atas pertuduhan yang didakwa ke atasnya.

Sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda itu, dia boleh dipenjara enam bulan dan tertuduh membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Nurul Jannah didakwa telah gagal untuk memaparkan senarai perkhidmatan yang ditawarkan iaitu dandanan rambut dan tidak memaparkan caj bagi perkhidmatan dandanan rambut di premis.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah salun, di Jalan Bukit Bintang di sini pukul 12.26 tengahari pada 11 April lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut perintah 3(1) Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 dan boleh dihukum dibawah Perintah 5(a) perintah yang sama.

Justeru hukuman bagi perintah itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 jika sabit kesalahan.

Terdahulu Nurul Jannah yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan hukuman denda ringan.

“Saya menghidap sakit kanser tahap satu selain mempunyai tanggungan ibu yang berusia 80 tahun di kampung. Saya juga tidak boleh melakukan kerja-kerja berat,” katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Nurul A’ain Shafie dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, memohon supaya OKS dikenakan hukuman berbentuk pencegahan berikutan kesalahan yang dilakukan serius.

“Dalam kes ini, pelanggan yang merupakan pasangan pelancong telah mempersoalkan harga yang dikenakan mahal dan tidak masuk akal. Akibat situasi itu telah menjejaskan imej negara apatah lagi kes tersebut telah tular di media sosial,” kata Nurul A’in.

Pada 11 April lalu, Kosmo! melaporkan pemilik perniagaan dan dua pekerja asing salun rambut di Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang mengenakan caj RM120 kepada pelancong asing diambil tindakan di atas kesalahan tiada penandaan harga.

Pengarah (KPDN) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, pemeriksaan itu dijalankan pihaknya susulan aduan yang dikesan melalui sosial media.

Hasil pemeriksaan, kita dapati terdapat dua warga asing dipercayai bekerja di premis tersebut iaitu lelaki warga Pakistan dan Algeria.

Bagaimanapun, lelaki warga Algeria dipercayai pekerja sambilan sudah mengaku secara lisan mengenai caj tinggi yang dikenakan kepada pelancong.

Mengulas lanjut mengenai operasi kedai tersebut, Ariffin berkata, pemeriksaan mendapati tiada tanda harga dipamerkan di premis terbabit untuk semua perkhidmatan yang ditawarkan.

Tambah Ariffin, tindakan kes diambil bawah AKHAP 2011 berkaitan kesalahan tiada penandaan harga.

Terdahulu, KPDN memaklumkan telah mula menjalankan siasatan berhubung dakwaan dua pelancong dicaj sehingga RM120.

Perkara itu tular di media sosial selepas pasangan tersebut memuat naik video dan bertanyakan sama ada mereka telah ditipu susulan harga dikenakan itu terlampau mahal. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI