fbpx

Projek baharu di JB perlu ikut kadar intensiti hujan 100 mm – Exco Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN banjir kilat yang melanda bandar raya Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Projek pembangunan hartanah baharu di sekitar kawasan Greater Johor Bahru (JB) perlu dibina dengan mengambil kira kadar intensiti taburan hujan mencecah 100 milimeter (mm).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, itu antara langkah diambil kerajaan negeri dalam memastikan insiden banjir kilat khususnya dapat dielakkan.

Menurut beliau, banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di bandar raya ini adalah disebabkan taburan hujan abnormal iaitu pada tahap 60 mm berbanding kebiasaan antara 10 mm hingga 20 mm.

“Sehubungan itu, pelbagai kaedah penyelesaian telah dirangka bagi mengatasi masalah banjir kilat di kawasan Greater JB iaitu kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB); Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP); Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).

“Antaranya kita putuskan projek pembangunan akan datang, asas projek dibina pada 100 mm taburan hujan. Ini bermakna pembinaan parit dan saliran air keluar perlu sesuai untuk hujan dengan intensiti 100 mm, empat kali ganda berbanding kadar sedia ada,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Khas Mengatasi Banjir Kilat di Menara MBJB, di sini hari ini.

Tambah Mohd. Jafni, langkah itu bagi membolehkan hujan dengan kadar taburan lebih tinggi mengalir keluar daripada satu-satu kawasan dengan lebih mudah sekali gus mengelakkan berlakunya insiden banjir kilat.

Sementara itu, beliau turut memberitahu insiden banjir kilat yang menjejaskan 38 lokasi di sekitar bandar raya ini adalah disebabkan taburan hujan luar biasa yang bertembung dengan air pasang penuh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI