fbpx

Anak terlantar, suami pula bisul kronik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. ZAIDI dan isterinya menguruskan Muhammad Qhalis ketika ditemui di rumah mereka di Melaka.

MELAKA – Sebuah keluarga di Jalan Simpang Semabok, di sini diuji apabila anak menghidap penyakit subdural hemorrhage atau pendarahan di bahagian lapisan luar otak, manakala ketua keluarga mereka pula tidak dapat bekerja kerana bisul kronik.

Mohd. Zaidi Osman, 49, berkata, dia tidak menyangka bisul yang muncul pada pinggangnya Julai lalu memberi kesan sehingga tidak mampu keluar mencari rezeki dan membeli susu formula untuk anak istimewanya, Muhammad Qhalis Qashah, 8.

Menurut lelaki itu, bisul tersebut menyebabkan lapisan kulitnya dari pinggang sampai punggung dibuang kerana bernanah.
Setakat ini, Mohd. Zaidi sudah menjalani tiga kali pembedahan termasuk pembedahan plastik.

Muhammad Qhalis yang me­rupakan anak kedua daripada tiga beradik menghidap subdural hemorrhage sejak berusia tujuh hari dan terlantar atas katil sehingga sekarang.

“Sebelum ini saya bekerja de­ngan gaji RM1,800 sebulan untuk menampung keluarga, tetapi sejak sakit saya tidak mampu mela­kukan kerja-kerja berat.

“Pada minggu lepas, saya menghadiri temu duga untuk bekerja sebagai pengawal ke­selamatan, namun diminta pulang selepas pihak syarikat melihat saya sukar berjalan,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Sementara itu, isterinya, Salmah Mohd. Ishak, 34, membe­ritahu, dia akan mengambil alih tanggungjawab dengan bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan bayaran RM35 sehari untuk menyara keluarga tidak lama lagi.

“Saya boleh bekerja, tetapi suami belum pulih sepenuhnya untuk menjaga Muhammad Qhalis. Jadi kami perlu tunggu anak sulung yang berusia 12 tahun cuti sekolah baru saya boleh bekerja.

“Saya mengharapkan anak sulung untuk membantu menjaga Muhammad Qhalis dan adik bongsunya yang berusia setahun empat bulan,” katanya.

Tambah wanita itu, perbelanjaan sebulan Muhammad Qhalis adalah RM1,800 yang digunakan untuk membeli susu formula, lampin pakai buang dan keperluan lain seperti tiub makanan.

Keluarga itu menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat kategori orang kelainan upaya sebanyak RM500 sebulan.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abd. Halem turut menyampaikan bantuan tunai, makanan dan katil untuk kegunaaan Muhammad Qhalis.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 0413841100013389 atas nama Salmah atau menghubungi talian 019-227 8728.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI