fbpx

‘Saya rasa seperti dihentak objek berat dan jatuh tersembam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOR LELAWATI masih dalam keadaan lemah selepas dirinya dan anak berusia lapan tahun dipanah petir di Kampung Permatang Kerisek, Simpang Empat dekat Kangar semalam.

KANGAR – “Kejadian berlaku sekelip mata, saya berasa seperti ada hentakan benda berat dari belakang sebelum jatuh tersembam di atas tanah sebelum panda­ngan terus jadi gelap”.

Demikian cerita Nor Lelawati Abu Bakar, 39, yang mengalami sakit-sakit pada badan dan trauma akibat dipanah petir dalam kejadian di Kampung Permatang Kerisek, Simpang Empat dekat sini kelmarin.

Kejadian kira-kira pukul 7 malam itu turut mengakibatkan anak lelakinya, Muhamad Azizul Jaafar, 8, melecur kira-kira 20 hingga 25 peratus pada anggota badan.

Menurut Nor Lelawati, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke kediamannya dari rumah jiran bersama Muhamad Azizul dan seorang lagi anak lelaki orang kelainan upaya (OKU) sindrom Down berusia 15 tahun.

Katanya, pada masa itu hujan renyai dengan kejadian berlaku pada jarak 30 meter dari rumahnya.

“Tidak ada sebarang petanda awal seperti bunyi dan cahaya kilat. Selepas terkena panahan petir itu, pandangan jadi gelap sebelum saya rebah dan tidak sedarkan diri,” ­katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

CHE MUHAMMAD menunjukkan lokasi kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat dipanah petir di Kampung Permatang Kerisek, Simpang Empat dekat Kangar kelmarin.

Tambahnya, dia hanya sedar ketika berada di dalam kereta semasa dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini dan berasa sangat dahaga.

“Tubuh saya menjadi kejang, saya pernah terkena renjatan elektrik tetapi kejadian semalam lebih teruk berkali-kali ganda. Keadaan saya kini beransur pulih, cuma masih sakit pada bahagian dada akibat terjatuh.

“Muhamad Azizul pula melecur pada bahagian leher, perut, paha dan kaki. Kebanyakan kecederaannya pada bahagian se­belah kiri badan dan doktor memaklumkan kira-kira 20 hingga 25 peratus badannya melecur,” ujarnya yang mengusahakan penyemaian padi benih.

Jelasnya, Muhamad Azizul sedar dari pengsan ketika di HTF dan meraung kesakitan sebelum ditidurkan untuk mengelakkan dia meronta.

Murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Simpang Empat itu kini ditempatkan di unit rawatan rapi kanak-kanak dan dirujuk kepada pakar kulit Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah.

Dalam pada itu, abang mang­sa, Amirizal Jaafar, 32, berkata, dia dan seorang lagi rakannya, Che Muhammad Che Natt, 34, sedang membaiki atap kilang memproses sekam berdekatan sebelum ternampak cahaya terang dan dentuman kuat se­perti ­bunga api.

“Selepas itu saya lihat adik OKU dalam keadaan kelam kabut meminta bantuan sebelum kami ke tempat kejadian dan mendapati dua beranak itu dalam kea­daan tidak sedarkan diri.

“Saya mengangkat Muhamad Azizul dan ternampak beberapa bahagian badannya berwarna keputih-putihan seperti kesan melecur,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI