fbpx

Pesona beg kulit buatan tangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelbagai rekaan beg kulit yang dihasilkan Raja Akif dengan aneka corak dan warna menarik.

BEG tangan yang diperbuat daripada kulit sering dijadikan pilihan sebagai aksesori pelengkap gaya.

Selain tampak mewah dan juga eksklusif, rekaannya yang elegan tetapi minimalis serta kualiti yang baik juga menjadikan pengguna tidak kisah mengeluarkan belanja yang agak tinggi untuk memiliki tas tangan kulit yang boleh digayakan bagi pelbagai acara.

Minat terhadap produk kraf tangan berasaskan kulit menjadikan seorang jejaka kelahiran Pasir Gudang, Johor nekad untuk menghasilkan sendiri pelbagai produk fesyen berasaskan kulit.

Raja Akif Raja Muhammad Ariff yang sering berkongsi rekaan beg kulit yang dihasilkannya menerusi aplikasi TikTok seronok apabila label

Kotak Ilham yang diasaskan sejak 2019 itu mulai dikenali ramai.

“Saya mengasaskan perniagaan ini kerana minat terhadap penghasilan pelbagai produk kraf tangan.

“Ia pada asalnya adalah hobi saya sejak berusia empat tahun kerana ketika itu, saya banyak membantu bapa menghasilkan pelbagai barangan kraf daripada kayu, arca sehinggalah produk kulit,” katanya kepada Stailo.

Apabila menghasilkan sendiri beg daripada kulit, Raja Akif berkata, ia dapat memberikannya kepuasan kerana boleh memilih sendiri rekaan, warna dan saiz beg dikehendaki.

Raja Akif menghasilkan pelbagai jenis beg termasuk tote bag, beg galas, beg pack dan juga clutch.

Biarpun mempunyai rekaan yang minimalis, namun material kulit yang digunakan menyerlahkan gaya elegan.

Raja Akif turut mengambil tempahan beg tangan pelbagai rekaan daripada pelanggannya yang mahukan sesuatu yang tiada di tempat lain.

Sekiranya pelanggan mempunyai rekaan tertentu sama ada untuk kegunaan sendiri atau dihadiahkan kepada yang tersayang, mereka boleh menghantar rekaan tersebut kepada Raja Akif untuk dihasilkannya.

Kongsinya lagi, dia melihat permintaan terhadap beg tangan kulit ketika ini cukup memberangsangkan, menjadikan dia memberi fokus terhadap penghasilan barangan tersebut.

Malah, dia menyifatkan tarikan yang ada pada labelnya itu adalah pada rekaan beg tangannya yang minimalis dan ringkas.

Menurutnya, dia banyak mengambil inspirasi daripada carian internet dan gaya peribadi orang terdekat seperti ahli keluarga dan juga rakan-rakan.

Sehingga kini, bekas penuntut jurusan seni bina dari Universiti Malaya itu berkata, dia sudah pun menghasilkan ratusan rekaan beg kulit.

“Jika diikutkan, lebih 100 rekaan beg dan produk berasaskan kulit yang lain telah dihasilkan.

“Setakat ini, kira-kira 80 rekaan masih mendapat permintaan dalam kalangan pelanggan.

“Ini kerana, rekaan tersebut dilihat masih trendy dan sesuai dengan cita rasa rakyat Malaysia,” katanya.

Mengulas tentang rekaan paling disukainya, Raja Akif berkata, dia paling menyukai rekaan diberi nama Sultanah Crossbag with Rattan Woven Parchment.

“Beg tersebut agak sukar untuk dihasilkan kerana saya perlu menganyam kulit untuk membentuk corak rotan.

“Kulit tersebut pula seterusnya perlu dijahit menggunakan lapan jarum secara serentak bagi membentuk sebuah beg,” katanya.

Beg-beg kulit yang dihasilkan Raja Akif itu boleh didapati pada harga bermula RM90 sehingga RM1,000.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI