PALET warna natural mendominasi keseluruhan ruang tamu itu, dengan gabungan rona putih, krim dan coklat lembut yang memberi rasa lapang serta hangat.
Sofa fabrik berwarna cerah dengan dihiasi susunan kusyen bercorak geometri dalam tona bumi menambah lapisan visual tanpa kelihatan berlebihan.
Permaidani bermotif klasik di bawahnya pula mengikat keseluruhan komposisi ruang, sekali gus memberikan sentuhan elegan serta sedikit rasa nostalgia yang seimbang dengan gaya moden.
Elemen semula jadi turut diselitkan secara halus melalui penggunaan warna hijau dan gubahan bunga kering yang menambah tekstur pada ruang tamu itu.
Secara keseluruhan, dekorasi rumah teres dua tingkat di Melaka itu menampilkan gabungan moden kontemporari dengan sentuhan muji dan tropika lembut.
Menurut pemiliknya, Nurasyikin Othman, keseluruhan rumah mengekalkan tema sama kecuali dapur yang kekal dengan konsep hitam dan putih.
“Ketika masuk ke rumah ini lapan tahun lalu, kami menggunakan khidmat pakar hiasan dalaman untuk menata rias kediaman kami.
“Sejak itu, rumah ini tidak dihias secara drastik, sebaliknya ditambah baik sedikit demi sedikit mengikut kesesuaian dan keselesaan mata.
“Setiap penambahan dibuat perlahan-lahan sehingga ruang benar-benar serasi dan memuaskan hati,” katanya kepada CitaRasa.

Ruang makan merupakan kawasan kegemaran wanita berusia 48 tahun itu kerana di situlah dia paling banyak menghabiskan masanya.
Ruang itu dianggap lebih praktikal untuk rutin harian, terutamanya selepas pulang dari bekerja.
Keistimewaan ruang makan itu terletak pada meja makan yang dibuat secara tempahan khas serta cermin bersaiz besar.
Kongsi Nurasyikin, penggunaan cermin dalam rumah berfungsi untuk memberi ilusi ruang lebih luas serta sebagai elemen estetik.
“Rumah ini ada tiga cermin utama yang ditempatkan di ruang makan, kawasan tangga dan bilik fitting.
“Susunan cermin di beberapa ruang menjadikan kediaman ini kelihatan lebih lapang dan menarik,” katanya.

Bagi ruang makan, Nurasyikin menggunakan lapisan kain berwarna lilac, sementara bahagian tangga, suaminya mengambil inisiatif memasang kertas dinding.
Tujuan utama langkah itu adalah untuk mengelak dinding kelihatan kosong serta memberi karakter dan identiti tersendiri kepada ruang.
Tambah Nurasyikin, minatnya terhadap bunga menyebabkan dia menghias pelbagai sudut dengan pelbagai jenis bunga tiruan.
“Pemilihan bunga dibuat mengikut keselesaan mata sendiri, dan saya sentiasa menerokai pelbagai jenis bunga untuk dijadikan aksesori.
“Saya memang agak cerewet dan teliti. Walaupun bunga itu cantik, namun saya tetap akan menukar sekiranya estetiknya tidak serasi dengan ruang,” katanya.
Untuk makluman, kos keseluruhan untuk dekorasi kediaman tersebut dianggarkan sebanyak RM200,000, yang dibiayai daripada hasil jualan rumah pertama.















