fbpx

Peniaga jadi ‘orang tengah’ pegawai JPJ kutip rasuah sejak 2017

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi pagawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini. - foto oleh SYAFEEQ AHMAD/KOSMO!

MELAKA – Seorang peniaga didenda RM56,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku salah menjadi ‘orang tengah’ kepada pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka menerima suapan daripada syarikat-syarikat lori sejak 2017.

Hukuman itu diputuskan oleh Hakim Elesabet Paya Wan terhadap tertuduh, Norsham Ahmad, 51, yang membuat pengakuan itu sejurus 20 pertuduhan pilihan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kesemua pertuduhan itu, tertuduh telah menerima suapan wang berjumlah keseluruhan RM34,855 melalui transaksi dalam talian daripada lapan buah syarikat lori.

Ia sebagai galakan bagi mendorong dengan cara menjalankan pengaruh peribadi ke atas seorang penjawat awam iaitu pegawai JPJ Melaka untuk tidak mengambil tindakan terhadap lori-lori yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Perbuatan itu dilakukan di sekitar Melaka sejak Januari 2017 sehingga Mac 2021.

Tertuduh dengan itu telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 163 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen dan kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda atau dengan kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.

Mengikut fakta kes, tertuduh bersama-sama dua pegawai JPJ Melaka telah menubuhkan sindiket digelar ‘Saudagar’ bagi tujuan melindungi lori-lori yang membawa lebihan muatan agar tidak dikenakan tindakan undang-undang.

Logo yang digunakan sindiket ini pada peringkat awal adalah menggunakan logo Pepsi supaya penguat kuasa terlibat dapat mengenal pasti lori-lori yang telah membayar wang perlindungan.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili Peguam Hafizatul Shahirah Jamari merayu agar hukuman berbentuk denda rendah diberikan dengan alasan anak guamnya hanya membantu isteri berniaga secara kecil-kecilan dengan pendapatan sekitar RM100 sehingga RM200 sehari.

Tertuduh juga menghidap kencing manis dan menanggung bapa mentuanya berusia 76 tahun yang menghidap beberapa penyakit termasuk darah tinggi dan asma.

Tambahnya lagi, tertuduh telah terjebak dalam sindiket itu selepas termakan pujukan rakannya yang juga merupakan pegawai JPJ terlibat untuk memainkan peranan sebagai orang tengah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asraf Mohamed Tahir bagaimanapun memohon agar hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat, selain mengambil kira nilai suapan.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda keseluruhan sebanyak RM56,000 atau penjara antara satu sehingga enam bulan, jika gagal membayar. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI