fbpx
Musim tengkujuh menyaksikan kreativiti rakyat Pantai Timur.

Orang Pantai Timur memang kreatif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PEJAM celik, pejam celik kita sudah memasuki bulan terakhir 2023. Masa berlalu begitu pantas seperti baru semalam kita meraikan sambutan ambang tahun baharu.

Seperti biasa pada hujung tahun, Malaysia dilanda Monsun Timur Laut yang akan menyebabkan hujan lebat terutama di negeri-negeri Pantai Timur, barat Sarawak dan timur Sabah.

Menurut Jabatan Meteorologi, musim tengkujuh bermula bulan lalu dan dijangka berterusan hingga Mac 2024.

Antara kawasan yang terjejas teruk adalah Kuala Nerus, Kemaman, Dungun dan Bestu di Terengganu. Di Kelantan pula, banjir berlaku di daerah Pasir Mas, Tanah Merah dan Bachok.

Setiap kali tibanya musim banjir, pasti ramai yang berduka. Ini kerana, mangsa-mangsa terbabit perlu berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), manakala barangan kelengkapan rumah pula musnah akibat ditenggelami air.

Biarpun bah merupakan satu musibah, namun ada segelintir pihak yang menjadikan musim tersebut sebagai waktu terbaik untuk mempamerkan kreativiti masing-masing.

Jika sebelum ini, inovasi kreatif ketika musim bah didominasi oleh masyarakat di Thailand menerusi video-video viral, namun kini ia ‘merebak’ ke Malaysia.

Ketika ini, tular di TikTok beberapa individu menunggang motosikal mengharungi air banjir.

Apabila diamati, kenderaan itu diubah suai supaya boleh meredah air hingga paras pinggang orang dewasa.

Bagaimanapun, penulis beranggapan tindakan itu amat berbahaya dan berisiko. Ini kerana, ia dibimbangi akan menyebabkan motosikal terbalik jika terdapat arus deras atau tayar tersasar dari jalan raya.

Tahun lalu, terdapat beberapa lagi inovasi banjir yang dilihat sangat praktikal oleh rakyat Malaysia. Misalnya, ‘membungkus’ kenderaan seperti kereta dan motosikal dengan plastik bagi mengelak dimasuki air.

Malah, ada mangsa yang membuat rakit menggunakan botol plastik bagi meredah air banjir.

Tidak cukup dengan itu, seorang lelaki warga emas di Chukai, Terengganu membina rumah rakit bagi menghadapi musim banjir.

Inisiatif itu berjaya melindungi harta benda daripada musnah sekali gus menyelamatkan nyawa ahli keluarganya pada musim tengkujuh.

A. Bakar Che Ahmad dari Kampung Terbak, Batu 16 itu menggunakan sebanyak 69 tong plastik dan 54 keping papan fascia bagi mengapungkan kediamannya.

Kediaman yang dinamakan sebagai ‘Rumahku, Rakitku’ itu dibina disebabkan kekerapan kampung halamannya ditenggelami air setiap kali musim tengkujuh tiba.

Kreativiti rakyat Malaysia tidak terhad di situ sahaja, malah ada yang mencipta sukan baharu sempena musim banjir antaranya adalah berlari dalam air dan meluncur arus air.

Bagaimanapun, dalam keghairahan mempamer kreativiti ketika musim banjir ini, jangan sesekali mengabaikan aspek keselamatan sehingga boleh menggadai nyawa sendiri. Selamat menempuh musim banjir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN