fbpx

Penduduk mula pindah kereta, air makin naik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Puluhan kenderaan penduduk yang diletakkan sejauh satu kilometer di jalan utama selepas Taman Telok Mesira, Bachok dinaiki air semalam.

BACHOK – Lebih 350 keluarga terpaksa mengalihkan kende­raan sejauh satu kilometer ke jalan utama selepas kawasan perumahan Taman Telok Mesira, di sini dinaiki air sejak semalam.

Rata-rata penduduk terkejut apabila rumah mereka dimasuki air pada pukul 3 pagi selepas hujan lebat berterusan dalam tempoh tiga jam.

Seorang penduduk, Wee Yew Lee, 55, berkata, kawasan perumahan dinaiki air sejak dua tahun lalu selepas kerja-kerja menambak tanah dijalankan di situ.

Dakwanya, kerja-kerja itu menyebabkan pengaliran keluar air hujan dan longkang dari kawasan perumahan tersekat.

“Air mula naik di kawasan rumah penduduk hingga kami perlu mengalihkan kenderaan ke jalan utama yang terletak kira-kira satu kilometer dari perumahan.

“Sebelum kerja-kerja menambak tanah dijalankan, kawasan ini tidak pernah banjir. Apabila kerja-kerja itu dibuat dua tahun lalu, kami berdepan isu banjir hingga habis barangan rumah rosak,” katanya ketika ditemui ­Kosmo! Ahad semalam.

Katanya, masalah tersebut sudah diadukan kepada pihak berwajib, namun masih tiada sebarang tindakan sehingga hari ini.

Seorang lagi penduduk, Zakaria Yusoff, 66, berkata, sebelum ini, kawasan perumahan itu tidak pernah berlaku banjir walaupun hujan lebat.

Katanya, ini merupakan tahun kedua kawasan Taman Telok Mesira berlaku banjir sehingga ­masuk ke dalam rumah.

“Sekiranya hujan berterusan, keluarga saya perlu berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS). Banjir di kawasan ini lambat surut kerana tiada longkang besar untuk laluan air keluar,” ujarnya.

Sementara itu, Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Kelantan berkata, mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 826 orang berbanding 574 orang.

Menurutnya, kesemua mang­sa terdiri daripada 264 buah keluarga yang ditempatkan di lapan buah PPS di lima daerah iaitu Bachok, Pasir Mas, Machang, Kota Bharu dan Tanah Merah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI