fbpx

Liga Super: Penang FC sekat hajat Penyu bawa pulang mata penuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penang FC berjaya mengikat Terengganu 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, malam ini.

GEORGE TOWN – Hasrat Terengganu FC (TFC) untuk membawa pulang tiga mata berharga dari Stadium Bandaraya tidak kesampaian apabila diikat 1-1 oleh Penang FC pada minit akhir perlawanan dalam saingan Liga Super, malam ini.

Keputusan seri itu juga mengekalkan permulaan baik yang ditunjukkan oleh pengendali sementara skuad Harimau Kumbang, Akmal Rizal Ahmad Rakhli selepas kesebelasan anak buahnya berjaya menundukkan Sri Pahang FC (SPFC) di gelanggang yang sama sebelum ini.

Bermula seimbang, skuad Penyu bagaimanapun dilihat lebih menguasai perlawanan khususnya pada minit-minit awal permainan dengan corak serangan yang lebih kemas ketika Penang FC pula seakan masih tercari-cari rentak.

Bagaimanapun, tuan rumah berjaya bertahan dengan baik sepanjang tempoh itu dan cuba melancarkan serangan balas ke kubu pelawat.

Penang FC kemudian berpeluang untuk mendahului pada minit ke-14, namun, tandukan penyerang import mereka, Abdul Abdeen melepasi palang gol.

Selang beberapa minit selepas itu, pemain tengah Harimau Kumbang, Hafiz Harun pula memperoleh peluang keemasan untuk membuka tirai jaringan buat tuan rumah.

Namun demikian, rembatan lemahnya berjaya ditampan oleh penjaga gol skuad Penyu, Muhammad Rahadiazli Rahalim sebelum tendangan susulan Abdeen pula mudah ditangkap oleh penjaga gol muda berusia 22 tahun itu.

Masuk babak kedua, kedua-kedua pasukan dilihat lebih agresif melancarkan serangan ke kubu lawan dalam usaha untuk memecah kebuntuan jaringan.

Hasilnya, pemain tengah TFC, Syahmi Zamri akhirnya berjaya meledak gol pertama buat pelawat pada minit ke-66.

Gol berpunca daripada kecuaian pemain pertahanan tuan rumah, Muhammad Iman Rafaie yang gagal mengawal bola dengan sebelum dirampas dan disudahkan dengan kemas oleh Syahmi.

Gol tersebut menyemarakkan semangat pelawat untuk terus menekan tuan rumah dengan beberapa serangan berbahaya.

Ketika perlawanan dilihat seakan berkesudahan dengan 0-1, Penang FC secara tiba-tiba mendapat peluang keemasan apabila dihadiahkan sepakan penalti pada masa-masa kecederaan selepas berlaku kekasaran dalam kotak penalti pelawat.

Ketua pasukan, Rafael Vitor kemudian tenang menyempurnakan tendangan penalti itu sekaligus memastikan Penang FC berjaya memungut sekurang-kurangnya satu mata dalam perlawanan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI