fbpx

Haram poligami kalau tidak mampu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SESEORANG yang ingin berkahwin lebih daripada satu perlu mampu dari segi fizikal dan kewangan bagi mengelak berlaku tidak adil kepada pasangan. GAMBAR HIASAN

GEORGE TOWN – Hukum syarak bagi suami yang mahu berpoligami dalam keadaan dirinya tiada kemampuan dari segi fizikal dan kewangan adalah haram.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, mana-mana lelaki yang berniat untuk berpoligami dinasihatkan supaya berfikir panjang sebelum melaksanakan perkara tersebut.

Menurutnya, individu tersebut seharusnya mengetahui kesan buruk atas perbuatan itu terhadap isterinya yang sedia ada termasuk anak-anaknya dan wanita yang akan dinikahinya.

“Ia juga akan memberi kesan terhadap anak-anak yang bakal dilahirkan oleh isteri baharunya nanti.

“Oleh itu, jika terdapat kebimbangan tidak berlaku adil terhadap pasangan, maka disarankan supaya seorang lelaki hanya berpada dengan seorang isteri sahaja. Sudah tentu beban tanggungjawab seseorang suami akan bertambah apabila dia menambahkan bilangan isterinya,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Beliau memberitahu, di dalam Islam, seseorang Muslim yang melakukan perbuatan yang dilarang atau meninggalkan sesuatu yang disuruh adalah dianggap melakukan kesalahan (berdosa).

“Untuk membersihkan diri daripada kesalahan tersebut maka pelakunya dikehendaki bertaubat kepada Allah SWT dengan berazam tidak akan mengulangi kesalahan tersebut.

“Tetapi, jika seseorang hanya berniat di dalam hati hendak melakukan sesuatu kesalahan maka dia tidak dikira berdosa dan dia tidak dikehendaki bertaubat. Malah seorang suami yang berniat hendak berpo­ligami tidak perlu memberitahu ­isterinya tentang niat tersebut,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, katanya lagi, isu poligami sering menimbulkan masalah dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.

“Dengan merujuk kepada ayat al-Quran, surah an-Nisa’:3, dan mengamati maksudnya, kita dapat memahami bahawa agama Islam mempunyai hikmah dan matlamat tertentu di sebalik
keizinan untuk orang lelaki berpoligami.

“Ini adalah kerana menerusi amalan poligami seseorang lebih mampu menjaga kehormatan dirinya di samping dapat melahirkan zuriat yang lebih ramai

“Ayat tersebut juga mengharuskan bagi kaum lelaki me­ngahwini sehingga empat orang isteri. Keizinan berpoligami ini juga ada kaitan dengan pemeliharaan harta (pusaka) anak-anak yatim bagi mana-mana individu yang menjaga atau menyelia mereka,” katanya.

Jelasnya, dengan menikahi ibu anak-anak yang kematian bapa maka akan memudahkan lagi seseorang itu mengurus harta pe­ninggalan si mati untuk ­diserahkan kepada anak-anak­nya apabila mereka dewasa kelak.

“Namun, sesuatu gagasan yang baik tidak semestinya menghasilkan natijah yang baik. Kemungkinan terjadi sebalik­nya (memudaratkan) jika disalahgunakan atau dilaksanakan dengan cara yang salah. ­Justeru, dalam ayat yang sama terselit amaran tentang berlaku ketidakadilan,” katanya.

Baru-baru ini, Kosmo! ­melaporkan 80 peratus lelaki yang mahu mengamalkan poli­gami dengan memohon khidmat peguam syarie tidak layak kerana tidak berkemampuan dari segi kewangan, malah ada antara mereka ditanggung oleh isteri.

Dalam sudut yang sama, beliau berkata lagi, individu beragama Islam hendaklah mengelak daripada sebarang perbuatan yang membawa kepada dosa termasuklah lelaki yang gemar melihat gambar wanita bukan mahramnya.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI