fbpx

Empangan TNB sedia hadapi musim tengkujuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Skim hidroelektrik Sungai Perak yang menjana tenaga boleh diperbaharui. - Gambar hiasan

PETALING JAYA – Tenaga Nasional Bhd (TNB) telah mempersiapkan semua empangan skim hidroelektriknya bagi menghadapi impak Monsun Timur Laut (MTL) termasuk kemampuan menakung kapasiti air yang dijangka meningkat pada musim tengkujuh.

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), Ir. Muhamad Nazri Pazil berkata, empangan tersebut terletak di Cameron Highlands, Sungai Perak dan Tasik Kenyir.

Katanya, Pemeriksaan berkala secara bulanan dan audit integriti setiap enam bulan adalah antara langkah yang diambil melebihi garis panduan “ Malaysia Dam Safety Management Guidelines” (MyDAMS) demi keselamatan empangan untuk memastikan keutuhan struktur.

“Langkah-langkah ini memastikan empangan dapat berfungsi dengan baik bukan sahaja sebagai penjana tenaga hidro tetapi juga membantu usaha penebatan
banjir.

“Penyelenggaraan empangan secara berhemat dan menyeluruh ini mendukung prinsip utama melindungi nyawa, harta benda, dan persekitaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada pengumuman Jabatan Meteorologi Malaysia yang meramalkan hujan lebat di Pantai Timur Semenanjung dengan kebanyakan negeri menerima purata hujan antara 100 milimeter (mm) hingga 900mm pada hujung tahun.

Selain itu Muhammad Nazri berkata, seperti tahun-tahun sebelumnya, TNB juga telah mengadakan beberapa siri taklimat persediaan kepada pemegang taruh dan penduduk setempat, disamping latih amal simulasi kecemasan bersama agensi-agensi kerajaan yang terlibat dengan pengurusan bencana.

“Selain menjana elektrik, empangan-empangan hidroelektrik milik TNB turut berfungsi sebagai tebatan banjir. Dengan kapasiti menakung air di hulu sungai, empangan-empangan kami dapat mengelakkan bencana lebih besar daripada berlaku di kawasan hilir setiap kali musim tengkujuh tiba.

“Paras air tasik telah diturunkan secara terancang ke paras minimum melalui pelepasan terkawal mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) sebelum bermulanya musim tengkujuh dengan mengambil kira keperluan operasi supaya keupayaan penjanaan elektrik masih boleh dilakukan,” jelasnya.

Mengulas mengenai operasi Stesen Janakuasa Sultan Mahmud (SJSM) Kenyir, Terengganu yang dilanda banjir besar pada awal tahun lalu, Muhammad Nazri menjelaskan bahawa kerja-kerja pemulihan berjalan lancar.

“Kerja pemulihan itu dilihat dapat mengurangkan risiko tanah runtuh dan struktur Empangan Kenyir didapati kekal kukuh dan selamat oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) melalui pasukan penilaian “Flying Squad” dalam laporan bertarikh Ogos 2022.

“Selain itu, penilaian Keselamatan Empangan (Dam Safety Review) oleh pakar empangan bebas dilaksanakan setiap lima tahun yang selaras dengan garis panduan antarabangsa International Commission on Large Dam (ICOLD) yang mana pakar-pakar empangan dilantik untuk memeriksa dan menilai keadaan integriti empangan dan struktur yang berkaitan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI