fbpx

Miskin bandar galak amalan rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alias ketika sesi santai dan kunjungan hormat Media Selangor bersama SPRM Selangor. FOTO OLEH AFIQ RAZALI/KOSMO!

SHAH ALAM – Kemiskinan bandar dikatakan antara faktor individu termasuk penjawat awam terjerumus dalam rasuah walaupun serendah RM50 di Selangor.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Datuk Alias Salim berkata, ini berikutan gaji yang diterima rendah antara RM2,000 hingga RM3,000 membuatkan mereka terpaksa bergelut dengan kos sara hidup bagi meneruskan kelangsungan kehidupan.

Katanya, desakan ini boleh mempengaruhi corak pemikiran mereka ditambah dengan peluang bagi melakukannya amalan rasuah.

“Kalau gred rendah macam kerani berapa sahaja dapat dengan hendak mahu menyewa rumah (berharga) RM1,000, anak lagi selain tuisyen mereka. Sudah tentu tidak cukup (bagi kehidupan bulanan mereka).

“Kemudian sekiranya ada kuasa untuk melakukan sesuatu contohnya, peluang di depan mereka iaitu sama ada mahu saman atau ambil duit (rasuah). Itu menjadi antara faktor (mengundang kepada amalan rasuah),” katanya pada sesi santai dan kunjungan hormat media Selangor bersama SPRM Selangor di sini.

Secara umum, kemiskinan bandar boleh didefinisikan sebagai individu atau sesebuah isi rumah yang miskin dari segi kewangan serta pelbagai faktor lain merangkumi aspek kesihatan, pendidikan dan taraf kehidupan.

Alias menambah isu miskin bandar tersebut pernah dibentangkan pada mesyuarat bersama kerajaan negeri baru-baru ini terutama melibatkan penjawat awam yang bergred rendah.

“Kalau RM3,000 duduk (tinggal) di luar bandar sudah mewah berbanding dengan Shah Alam. Sememangnya beza (kehidupan mereka).

“Paling rendah nilai rasuah di Selangor pernah disiasat adalah RM50. Namun jangan lihat pada nilai kerana ia tetap rasuah dan salah laku tetap berlaku,” ujarnya.

Dalam perkembangan berlainan, beliau menjelaskan, sebanyak 160 fail siasatan telah dibuka daripada 325 aduan yang diterima pihaknya setakat 10 bulan pertama tahun ini.

“Dalam tempoh tersebut juga sebanyak 44 individu telah ditangkap dan 37 dihadapkan ke muka pengadilan.

“Justeru, sokongan dan komitmen masyarakat memainkan peranan penting dalam memastikan negara bebas daripada rasuah,” katanya.

Alias turut memaklumkan kemajuan pesat dalam dunia teknologi hari ini memudahkan masyarakat mendapatkan maklumat dengan cepat dan tepat.

“Pihak media dilihat telah memainkan peranan besar dalam menyebar luas mesej antirasuah dalam mendidik masyarakat untuk memerangi segala bentuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa,”katanya. -KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI