fbpx

Johor peruntuk RM15 juta setahun bagi santuni mualaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Fared Mohd. Khalid.

ISKANDAR PUTERI – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) memperuntukkan RM15 juta setahun kepada Pertubuhan Kebajikan Saudara Kita bagi pelaksanaan pelbagai aktiviti dakwah termasuk bagi menyantuni kebajikan golongan mualaf di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, seramai 2,845 individu telah berdaftar memeluk agama Islam sejak 2020 sehingga November tahun ini.

Menurut beliau, pecahan melibatkan seramai 728 orang bagi tahun 2020; 688 orang (2021); 796 orang (2022) dan 633 orang sehingga November tahun ini.

“Saudara baharu kita yang berdaftar di negeri Johor terdiri daripada pelbagai latarbelakang kaum antaranya Cina, India, Iban, Bidayuh, Kadazan, Orang Asli serta warganegara asing dari Filipina dan Vietnam,” katanya ketika berucap pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Abdul Aziz Talib (PN-Maharani) berhubung jumlah saudara baharu sejak 2020 sehingga dan rancangan dakwah kepada mereka dan umat Islam di negeri ini.

Mohd. Fared yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah turut memberitahu, Jabatan Agama Islam Johor juga telah menubuhkan Pertubuhan Kebajikan Saudara Kita pada tahun 2020 dengan peruntukan tahunan sebanyak RM15 juta.

“Pertubuhan ini berperanan melaksanakan Modul Pengajian Islam berkaitan Akidah, Ibadah, Muamalat, Sirah, Akhlak dan Pengajian Al-Quran. Selain itu, ia juga berfungsi memberi bimbingan keagamaan kepada mualaf dalam usaha mempertingkatkan syiar Islam dan menjaga kebajikan mereka.

“Antara kursus dijalankan adalah Islam Pilihanku, Kem Sinar Ibadah, Majlis Iftar Ramadan, Program Ziarah Riadah, Kursus Tahsin Al Quran dan Sambutan Maulidur Rasul,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut memberitahu, kerajaan negeri bakal menubuhkan pusat pemulihan bagi mengatasi isu akidah terpesong serta individu yang mengamalkan hubungan sesama jantina atau LGBT.

“Kewujudan pusat pemulihan bagi golongan yang mengamalkan hubungan sesama jantina ini merupakan pertama kali diadakan di Malaysia. Ketika ini ia sedang dalam proses persiapan kemasukan harta modal di bahagian pejabat, asrama pelatih lelaki dan perempuan.

“Pusat ini dijangka beroperasi sepenuhnya pada bulan Julai 2024,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI