fbpx

Pembantu ehwal ekonomi didakwa guna kedudukan untuk dapatkan suapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORIHAN Selleh hadir ke Kompleks Mahkamah Seremban hari ini. -Foto NUR SHARIEZA ISMAIL.

SEREMBAN – Seorang Pembantu Ehwal Ekonomi, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini bagi berdepan satu pertuduhan menggunakan kedudukan bagi mendapatkan suapan dengan membantu mengemukakan sebut harga untuk kepentingan dirinya.

Tertuduh, Norihan Salleh 41, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut yang dibacakan jurubahasa di depan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan utama, antara Januari 2020 hingga Disember 2021, tertuduh sebagai pegawai badan awam yang bertugas di Pejabat Fama Daerah Port Dickson telah menggunakan kedudukan mendapatkan suapan dengan membantu mengemukakan sebut harga bagi kerja-kerja pembersihan di Pasar Tani Batu 4, Pasar Tani Springhill, Pasar Tani Giant Lukut dan Pasar Tani Pasir Panjang bagi tahun 2020 hingga 2022.

Perbuatan itu dilakukan berhubung dengan perkara yang mempunyai kepentingan iaitu syarikat-syarikat Mahadi Derma Yasok, Dian Nasuha Enterprise dan Kak Zeyan Enterprise adalah milik saudara tertuduh.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Sementara bagi pertuduhan pilihan, antara Januari 2020 hingga Disember 2021, di lokasi yang sama, tertuduh dengan curangnya menggunakan dokumen sebagai tulen iaitu dokumen sebut harga atas nama Mohd. Zaidi Mohd. Isa, MZ Karisma Entreprise dan Zuraime Maju Entreprise bagi kerja-kerja pembersihan di pasar tani daerah Port Dickson yang mana tertuduh mempunyai sebab dan mempercayai dokumen berkenaan adalah palsu.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan supaya mahkamah menetapkan RM10,000 sebagai kadar jaminan dengan seorang penjamin disamping syarat tambahan dengan mengkhendaki tertuduh melapor diri ke pejabat SPRM Port Dickson sehingga kes selesai.

Sementara, peguambela tertuduh, R. Sivanesan pula meminta mahkamah mempertimbangkan hukuman memandangkan tertuduh telah berkhidmat di FAMA Cawangan Port Dickson selama 16 tahun dan tidak pernah melakukan kesalahan sepanjang perkhidmatan.

“Tertuduh juga mempunyai empat orang anak masih bersekolah dan selama ini tertuduh memberi kerjasama dalam siasatan SPRM.

“Jumlah jaminan juga saya mohon dikurangkan kerana tertuduh akan dijamin oleh suami yang hanya berpendapatan sebanyak RM800 sebulan sebagai penghantar barangan,” katanya.

Meor Sulaiman kemudiannya menetapkan RM7,000 jumlah jaminan dengan seorang penjamin diberikan kepada tertuduh dan tertuduh dikehendaki melapor diri pada setiap hari Sabtu pada minggu pertama setiap bulan sehingga kes selesai. Sebutan semula kes ditetapkan pada 12 Januari 2024. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI